sfhzuraz Publish time 5-5-2025 02:16 AM

Redah perjalanan ratusan kilometer untuk lepas rindu di pusara anak

Redah perjalanan ratusan kilometer untuk lepas rindu di pusara anak

Redzuan [email protected]




https://assets.hmetro.com.my/images/articles/rinduu_1746360015.jpg
TANGKAP layar video Rosidah duduk di tepi pusara anaknya ,Muhammad Fazrin (Gambar kecil) yang tular di TikTok. FOTO TikTok Baddrol Bakhtiar



Sungai Petani: Demi melepaskan rindu, Rosidah Ibrahim gagahkan diri melangkah ke tanah perkuburan bagi menziarahi pusara anak sulungnya, Allahyarham Muhammad Fazrin Abdul Wahid yang dijemput Ilahi pada 27 Oktober tahun lalu.
Video wanita itu sempat dirakam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, Baddrol Bakhtiar yang kebetulan berada di tanah perkuburan itu ketika melawat pusara anaknya.
Ia mendapat perhatian warganet hingga meraih lebih 579,000 tontonan selepas dikongsikan Baddrol di TikTok kelmarin.
Perkongsian video itu turut mendapat reaksi isteri Allahyarham Muhammad Fazrin, Nurul Nabilah Rizal, 32, yang memaklumkan wanita dalam video itu adalah ibu mentuanya dan sanggup datang dari Terengganu untuk menziarahi pusara anak tercinta.
Bercerita lanjut, Nurul Nabilah berkata, ibu mentuanya memang kerap menziarahi pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin, dekat sini yang meninggal dunia akibat pneumonia atau jangkitan kuman pada paru-paru.
Menurut Nabilah, setiap kali datang ke Kedah, ibu mentuanya bermalam di rumahnya dan kerana itu, hubungan mereka rapat sehingga kini.
"Sebagai menantu, saya sedih dan terharu bila tengok video itu kerana tahu betapa sayangnya emak mentua terhadap suami.
"Daripada situ, saya boleh nampak pengorbanan seorang ibu yang tak pernah berhenti walaupun anaknya sudah tiada.
"Saya faham kerana emak mentua memang rapat dengan arwah dan suami pun anak harapan kerana sulung daripada lapan beradik.
"Lagipun, arwah suami pun anak yang baik, ringan tulang dan tak pernah meninggi suara," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Nurul Nabilah berkata, dia sekeluarga sudah reda dengan pemergian suaminya namun masih tidak dapat melupakan kenangan sepanjang hidup bersama.
Menurut Nurul Nabila, selagi hidup, dia akan terus menjaga silaturahim dengan keluarga mentuanya.
"Saya ada baca komen warganet dan syukur kerana ramai doakan serta beri komen positif.
"Rezeki saya dapat suami dan keluarga mentua yang baik… saya harap mereka yang menonton video itu doakan emak mentua saya terus sihat.
"Untuk emak (mentua), terima kasih sebab selalu ziarah kubur suami dan anggap saya macam anak sendiri selama ini," katanya yang kini membesarkan seorang anak lelaki Muhammad Ali Al- Uthman Muhammad Fazrin, 6, hasil perkahwinan dengan suaminya.


Disiarkan pada: Mei 4, 2025 @ 8:00pm
https://www.hmetro.com.my/utama/2025/05/1214966/redah-perjalanan-ratusan-kilometer-untuk-lepas-rindu-di-pusara-anak



Pages: [1]
View full version: Redah perjalanan ratusan kilometer untuk lepas rindu di pusara anak


ADVERTISEMENT