Harumanis D’Aman tarikan baharu agropelancongan Kedah 2025
Edited by sfhzuraz at 4-5-2025 05:26 PMHarumanis D’Aman tarikan baharu agropelancongan Kedah 2025
ROSLINDA HASHIM
04 Mei 2025 04:46pm
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/05/04/3111051.webp
Dzowahir (kanan) meninjau pokok mempelam harumanis yang terdapat di Pusat Teknologi Mempelam Kedah di Sala Kanan, Yan.
YAN - Pusat Teknologi Mempelam Kedah di Sala Kanan, Yan diiktiraf sebagai antara destinasi utama agropelancongan negeri sempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).
Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, pemilihan pusat tersebut merupakan langkah tepat kerana bukan sahaja berfungsi sebagai lokasi penanaman dan penyelidikan, ia juga mampu menarik pelancong dengan pelbagai aktiviti riadah.
Menurutnya, lokasinya yang strategik serta keunikan pusat ini sebagai satu-satunya pusat repositori mempelam menghimpunkan 111 varieti mempelam tempatan dan antarabangsa menjadikan ia aset penting yang perlu dimajukan secara berterusan.
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/05/04/3111050.webp
Dzowahir (tengah) meneliti buah Harumanis D’Aman yang dipasarkan pada Fiesta Mempelam Kedah (FMK) 2025.
“Pusat Teknologi Mempelam ini juga memberi tumpuan kepada mempelam Harumanis D’Aman sebagai tarikan utama.
“Pusat ini menjadi elemen tambahan dalam menarik minat pengunjung melancong ke destinasi lain di Kedah. Kepelbagaian aktiviti ditawarkan menjadikan ia lokasi riadah popular bersama keluarga,” katanya ketika merasmikan Fiesta Mempelam Kedah (FMK) 2025 di sini, pada Ahad.
Dzowahir berkata, mempelam harumanis mencetuskan fenomena tersendiri berikutan permintaan tinggi melebihi penawaran di pasaran, malah ada pengguna sanggup membayar harga tinggi untuk mendapatkan buah berkualiti ini.
“Kita perlu ambil peluang perluaskan kawasan penanaman mempelam harumanis. Dengan faktor cuaca dan persekitaran serta pengurusan yang baik, kita mampu jana pendapatan sehingga RM20,000 bagi setiap relong tanah,” ujarnya.
Menurutnya, sehingga tahun ini keluasan tanaman harumanis di Kedah mencecah 109.24 hektar dengan 72.76 hektar daripadanya telah berhasil.
“Pengeluaran keseluruhan dianggarkan sebanyak 232 metrik tan dengan nilai RM4.64 juta,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/05/04/3111052.webp
Pokok Harumanis D’Aman yang ditanam oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Mei 2022 sudah mulai berbuah.
Tambah Dzowahir, selain meningkatkan pendapatan pengusaha, industri harumanis juga menyumbang kepada sektor pelancongan negeri khususnya pada musim buah antara April hingga Jun setiap tahun.
“Jabatan Pertanian Negeri menganjurkan FMK 2025 sebagai platform dan penanda aras kepada pengusaha menerokai peluang mengkomersialkan Harumanis D’Aman di peringkat lebih tinggi. Ia antara usaha membantu pengusaha memenuhi keperluan pasaran di samping mempromosikan produk berkualiti.
“Dengan slogan ‘Jom Makan Mempelam Kedah’ saya percaya program ini akan menarik perhatian penggemar mempelam dari seluruh negeri atau negara setiap tahun untuk menikmati kelazatan harumanis Kedah,” ujarnya.
Beliau turut berharap kerjasama semua pihak khususnya agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan agar bekerja secara berpasukan bagi memastikan kualiti harumanis terus dipertingkatkan serta mampu menembusi pasaran lebih luas.
“Kerajaan negeri menerusi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) akan terus menyokong pembangunan pusat ini dan mempromosikan produk tempatan ini ke peringkat nasional.
“FMK 2025 yang berlangsung selama dua hari ini merupakan penganjuran terbesar dengan kehadiran 7,000 pengunjung, membuktikan agropelancongan kini menarik kunjungan ramai sekaligus menjana ekonomi masyarakat setempat.
“Penganjuran ini tidak akan berakhir di sini, diharap diperluaskan ke seluruh negeri sepanjang musim mempelam,” katanya lagi.
Dzowahir turut menasihatkan pengusaha agar menjaga reputasi Harumanis D’Aman yang membawa nama baik negeri dengan memastikan hanya buah berkualiti dipasarkan.
“Saya difahamkan pada musim lalu terdapat rungutan mengenai buah kurang berkualiti atau masam dijual kepada pelanggan. Kejadian seperti ini perlu dielakkan kerana ia menjejaskan kepercayaan pengguna,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar pengguna mengenali ciri-ciri harumanis tulen supaya tidak mudah tertipu dengan peniaga yang tidak bertanggungjawab.
https://www.sinarharian.com.my/article/726610/edisi/utara/harumanis-daman-tarikan-baharu-agropelancongan-kedah-2025
Pages:
[1]