Kanak-kanak lelaki hampir lemas ditidurkan, dipindah ke HPP
Kanak-kanak lelaki hampir lemas ditidurkan, dipindah ke HPPZuliaty [email protected]
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0504rshpp_1746335934.jpg
Hospital Pulau Pinang. FOTO ARKIB NSTP
Sungai Petani: Kanak-kanak lelaki yang ditemui hampir lemas dalam kolam di sebuah inap desadi Jalan Sungai Jagung, di sini, semalam, dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ini berikutan keadaan terkini kanak-kanak berusia setahun 11 bulan itu tidak stabil.
Beliau berkata, sebelum ini kanak-kanak itu ditidurkan di wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Katanya, mangsa adalah anak pertama daripada dua beradik dan tidak mempunyai masalah kesihatan.
"Mangsa dan ibu bapanya serta beberapa ahli keluarga lain menginap di sebuah inap desa di Sungai Jagung sejak 1 Mei lalu untuk menghadiri kenduri kahwin saudara terdekat di Tikam Batu yang berlangsung semalam.
"Kira-kira jam 3 petang, selepas pulang dari majlis kenduri itu, mangsa didapati tidur bersama datuk dan neneknya di dalam bilik berasingan daripada ibu bapanya.
"Ibunya menyedari pintu utama dan pintu bilik terbuka sebelum melihat mangsa dalam keadaan terapung di dalam kolam di inap desa berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Azharuddin berkata, kanak-kanak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ibu mangsa kemudian memberi bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa sementara menunggu ambulans sampai.
Beliau berkata, mangsa ketika itu berada dalam keadaan separa sedar dan dibawa ke unit kecemasan HSAH untuk rawatan lanjut.
"Mangsa dirujuk dan dipindahkan ke HPP dan akan menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.
"Hasil pemeriksaan lanjut oleh doktor akan dimaklumkan kemudian," katanya.
Wan Azharuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki ditemui hampir lemas dalam kolam di sebuah inap desa di Sungai Jagung.
Disiarkan pada: Mei 4, 2025 @ 1:19pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/05/1214809/kanak-kanak-lelaki-hampir-lemas-ditidurkan-dipindah-ke-hpp
Pages:
[1]