Pengurusan kes Saifuddin Nasution saman Tam Jebat 9 Jun depan
Edited by sfhzuraz at 3-5-2025 12:42 AMPengurusan kes Saifuddin Nasution saman Tam Jebat 9 Jun depan
ROSHILA MURNI ROSLI
02 Mei 2025 10:30pm
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/05/02/3109391.webp
Saifuddin Nasution
ALOR SETAR - Pengurusan kes melibatkan saman fitnah oleh Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail terhadap seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Tam Jebat akan dijalankan pada 9 Jun depan di Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Peguam SN Nair ketika dihubungi berkata, kes telah difailkan di mahkamah pada 11 April lalu dan writ serta pernyataan tuntutan dalam proses penyerahan kepada defendan.
Dalam pemfailan mahkamah, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu memfailkan saman terhadap Zubair Ismail, 43, yang dikenali sebagai ‘Tam Jebat’ di media sosial, menggunakan saluran TikTok dan Facebook untuk mencemarkan nama baiknya.
Saifuddin Nasution mendakwa, Zubair menuduhnya mendalangi serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Persatuan Bola Sepak Kedah tahun lalu.
Tambahnya, kenyataan itu palsu, berniat jahat, memfitnah, dan cuba menggambarkannya sebagai seorang pemimpin yang menyalahgunakan kuasa dan tidak cukup bermoral untuk menjadi penjawat awam.
Beliau berkata, kenyataan itu menjejaskan reputasi, integriti dan kerjaya politiknya, menyebabkan beliau dicemuh dan diganggu dalam talian.
Saifuddin menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, serta injunksi untuk menghalang Zubair dan wakilnya daripada membuat atau mengulangi kenyataan serupa.
Beliau juga mahu mahkamah memerintahkan Zubair menurunkan hantaran berunsur fitnah itu, dan ganti rugi itu termasuk faedah 5 peratus serta kos guaman.
Saifuddin berkata, salah satu hantaran yang menyinggung perasaan itu termasuk gambar dengan keterangan ‘Pokka hantaq SPRM LHDN mai serbu kelab bola Kedah. Berselerak habis sponsor’.
Katanya, kenyataan itu jelas merujuk kepadanya, dan secara salah mencadangkan bahawa beliau menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri.
Satu lagi hantaran Zubair di TikTok, yang ditonton lebih 65,000 kali, didakwa mengejek Saifuddin kerana memberikan sumbangan RM200,000 sekali beri kepada pemain bola sepak sempena Aidilfitri.
Zubair mendakwa, tindakan itu hanya untuk menunjuk-nunjuk, berbanding bantuan bulanan diberikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Saifuddin berkata, video itu juga secara palsu membayangkan beliau bertindak biadab dengan tidak melibatkan pemilik kelab ketika memberi sumbangan.
Beliau juga mendapati Zubair memfitnahnya dengan mengaitkannya dengan ‘penyamun kaki sakau’ dan mencadangkan bahawa beliau memfitnah menteri besar Kedah atas dakwaan kecurian nadir bumi dan dana penyelenggaraan jalan.
Saifuddin berkata, Zubair membuat dakwaan palsu dan tidak berasas dengan niat jahat, dan tidak memohon maaf walaupun diberi peluang berbuat demikian pada 4 April lalu.
Katanya, beliau mengalami tekanan mental yang serius dan berdepan malu akibat tindakan Zubair itu dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan.
https://www.sinarharian.com.my/article/726352/berita/semasa/pengurusan-kes-saifuddin-nasution-saman-tam-jebat-9-jun-depan
Pages:
[1]