JKR sedang laksana 66 projek bina baharu KKM libatkan kos RM2.4 bilion
Edited by sfhzuraz at 2-5-2025 01:08 PMJKR sedang laksana 66 projek bina baharu KKM libatkan kos RM2.4 bilion
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
02 Mei 2025 12:21pm
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/05/02/3108432.webp
Alexander (kiri) dan Dzulkefly (kanan) menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Siap Blok Tambahan Hospital Seberang Jaya daripada JKR kepada KKM pada Jumaat.
SEBERANG JAYA - Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melaksanakan 66 projek bina baharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM2.4 bilion.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Kementerian Kerja Raya menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) khususnya Cawangan Kerja Kesihatan turut diberi mandat melaksanakan 170 projek fasiliti kesihatan di seluruh negara yang melibatkan peruntukan sebanyak RM16.47 bilion.
"Daripada jumlah itu, 62 projek berada pada Fasa Pra-Pembinaan dengan anggaran kos RM4.05 bilion, manakala 64 projek sedang dilaksanakan dalam Fasa Pembinaan dengan nilai RM7.88 bilion.
"Sebanyak 44 projek lagi telah siap dibina melibatkan kos sebanyak RM4.54 bilion," katanya dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Projek Siap Blok Tambahan Hospital Seberang Jaya di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.
Menurut Alexander, bagi Pulau Pinang, sebanyak 12 projek telah dan sedang dilaksanakan di bawah RMK9 hingga RMK12 dengan peruntukan keseluruhan RM1.317 bilion.
"Pecahan tersebut merangkumi lima projek dalam peringkat perancangan (RM139.1 juta), lima projek dalam fasa pembinaan (RM781.38 juta) dan dua projek telah siap dibina (RM396.53 juta).
"Salah satu daripada projek penting di bawah pelaksanaan ini ialah Projek Pembinaan Blok Tambahan 10 Tingkat Hospital Seberang Jaya ini.
"Projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Malaysia di bawah RP2 RMK10 yang bertujuan meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan di kawasan Seberang Perai," ujarnya.
Alexander berkata, pembinaan projek itu mematuhi Pekeliling Perbendaharaan yang telah ditetapkan dengan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan penilaian skor IBS melebihi 70 peratus.
Projek yang dilaksanakan secara reka dan bina oleh SBAR Bina Sdn Bhd itu bermula pada tahun 2016 dengan kos kontrak asal bernilai RM371 juta.
Antara skop utama projek itu ialah pembinaan satu blok hospital baharu setinggi 10 tingkat, penambahan sebanyak 316 buah katil.
Ia merupakan peningkatan 77 peratus daripada kapasiti sedia ada (413 buah katil), menjadikan kapasiti keseluruhan sebanyak 729 buah katil.
Selain itu, projek itu turut merangkumi kemudahan sokongan seperti sistem saliran permukaan, sistem pembetungan, loji rawatan kumbahan, bekalan air luaran, ruang pengumpulan sisa klinikal dan rumah pam.
Projek itu turut selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai kesejahteraan, kemampanan dan ihsan dalam usaha memperkasa sistem kesihatan negara.
https://www.sinarharian.com.my/article/726245/berita/nasional/jkr-sedang-laksana-66-projek-bina-baharu-kkm-libatkan-kos-rm24-bilion
Pages:
[1]