tatod Publish time 30-4-2025 02:06 PM

Floki tikus peneman



RAMAI orang tidak terfikir tikus boleh menjadi haiwan peliharaan kerana haiwan itu kerap dikaitkan sebagai punca wabak penyakit selain tabiatnya yang gemar menyelongkar sampah.

Bagi pencinta dan peminat haiwan, Alang Ariff Adib Al Azry, 29, tikus peliharaan tidak semestinya kotor dan terdapat kategori.

"Tikus Dumbo ini merujuk kepada baka jenis telinga besar. Namanya juga dipetik daripada gelaran gajah telinga besar, Dumbo."Apabila peminat haiwan melihat tikus ini, ciri-ciri seperti memiliki telinga besar membuatkan 'Dumbo' diguna pakai sebagai pengenalan spesiesnya," katanya.

Alang Ariff berkata, disebabkan status tikus itu sesuai dipelihara dan segelintir peminat di luar negara menganjurkan pameran khusus mempamer spesies tikus peliharaan, dia jadi tertarik.

"Kalau sudah dipanggil Fancy rat, bermakna tikus ini dipelihara untuk pameran atau sebagai peneman.

"Semestinya berbeza dengan tikus jalanan atau liar, kerana dari segenap segi keperluan tikus Dumbo peliharaan saya dijaga, tidak makan benda kotor dan tidak menyelongkar sampah.

"Saya pastikan tempat najisnya dicuci dan setiap tiga bulan, Floki dibawa bertemu veterinar bagi memastikan tahap kesihatannya," katanya.

Tambahnya, tikus peliharaan yang dijaga segenap aspek tidak akan mempunyai tabiat 'kotor' yang boleh menjadi punca kehadiran wabak penyakit.

Menyentuh ciri-ciri menarik atau faktor membuatkan Alang Ariff terus memilih tikus sebagai haiwan peliharaan, ialah kebijaksanaan dimiliki haiwan terbabit.

"Satu lagi sisi kelebihan memiliki tikus sebagai haiwan peliharaan ialah kebijaksanaan haiwan terbabit.

"Saya pernah lihat dalam Youtube, tikus boleh dilatih seperti mana anjing dan monyet dalam tugasan mudah serta helah tertentu.

"Salah satu yang pernah saya lihat, salah seorang pemilik tikus berkongsi rutin melatih tikus peliharaannya.

"Tikus itu mematuhi arahan mengeluarkan barang daripada air selain meniti tali halus menyeberangi halangan.

"Saya sendiri latih Floki untuk membuang najis di satu sudut kandang dan ternyata tikus kesayangan akur setiap kali ia membuang najis," katanya.

Tikus kesayangannya juga tidak agresif, malah manja setiap kali bermain bersama.

"Tikus Dumbo yang dipelihara ini juga jinak dan manja. Malah jika hendak makan sekali-sekala bersuap.

"Ia hanya menggigit manja jika terkejut. Saya secara peribadi berasa tikus peliharaan ini lebih lemah lembut berbanding hamster yang suka menyerang dan menggigit apabila terkejut.

"Tikus spesies biasa lebih mesra dan pandai bersosial termasuklah dengan pemiliknya sendiri," katanya.

Mengenai diet diamalkan dalam memelihara tikus berkenaan, kata Alang Ariff, dia akan memberi sayur-sayuran dan buah-buahan segar.

"Makanan untuk tikus juga mudah kerana ia haiwan omnivor. Tetapi, saya akan beri lebih protein seperti ayam dan telur selain sayur segar antaranya kacang panjang serta sawi.

"Palet juga boleh diberikan sebagai makanan utama. Bagi memastikan kesihatan tikus terus terjamin, saya kerap pastikan suplemen termasuklah antiparasit diberikan kepada haiwan itu," katanya.

Tikus telinga besar seperti Floki ini juga perlu dipastikan kesihatan fizikal dan emosi yang mana sesuai dengan perkembangannya.

"Ini kerana tikus juga perlukan sangkar yang bersesuaian supaya ia selesa dan berasa seakan-seakan di habitat asal.

"Di sangkar tikus terbabit, sebaiknya sediakan ruang menyorok, ruang makan dan ruang bersantai.

"Ruang menyorok penting kerana tabiat tikus menyelongkar dan itu membuatkan tikus berasa senang dan selesa," katanya. - HARIAN METRO

Pages: [1]
View full version: Floki tikus peneman


ADVERTISEMENT