Penoreh getah raih RM9,000 sebulan, lateks meningkat selepas guna gas stimulan
Penoreh getah raih RM9,000 sebulan, lateks meningkat selepas guna gas stimulanOleh Zuliaty Zulkiffli - April 30, 2025 @ 10:53am
https://assets.bharian.com.my/images/articles/getah_1745981608.jpg
Abdul Rahman (dua dari kiri) melihat getah beku yang terhasil lebih banyak dengan penggunaan gas stimulan ethylene (Hevea3) di Felda Teloi Timur. NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
SIK: Sembilan peneroka FELDA Teloi Timur di sini, lega apabila projek tanaman getah menggunakan gas stimulan ethylene (Hevea3) bermula Februari lalu, memberi hasil lumayan hingga mampu peroleh pendapatan kasar RM9,000 sebulan berbanding RM1,500 sebelum ini.
Ketua Peneroka FELDA Teloi Timur, Ahmad Wahab, 69, berkata penggunaan gas itu membawa banyak perbezaan kepada hasil susu getah berbanding kaedah konvensional sebelum ini.
"Dengan kaedah ini, kami masukkan gas dalam aplikator pada batang pokok dan ia akan meningkatkan aliran susu getah, sekali gus meningkatkan hasil berbanding cara menoreh biasa sebelum ini.
"Gas akan dimasukkan seminggu sekali dan sebotol gas seberat 160 gram boleh digunakan untuk 120 pokok getah.
"Selepas selesai menoreh, kita biarkan pokok ini 'berehat' tiga hari sebelum kerja menoreh boleh dilakukan semula di pokok sama untuk mendapatkan susu getah yang banyak," katanya ketika ditemui, hari ini.
Ahmad berkata, satu pokok getah menggunakan gas stimulan mampu menghasilkan susu antara 200 hingga 300 gram setiap kali menoreh berbanding hanya 40 hingga 55 gram sebelum ini.
Katanya, sebelum ini juga faktor hujan menyebabkan banyak susu getah rosak dalam mangkuk, tetapi kini tidak lagi menjadi masalah kerana cawan disediakan mempunyai penutup khas.
Bagi Suziah Abu Hassan, 51, dia seakan tidak percaya apabila melihat penyata pendapatan hasil jualan susu getah yang cukup lumayan ketika ini.
Katanya, sebelum ini pendapatan bersih bulanannya sekitar RM400 lebih daripada hasil lateks di kebun getah seluas 2.7 hektar di kawasan itu.
"Saya terkejut melihat penyata bulan lalu yang menunjukkan hasil menoreh sebanyak RM4,344.99 bagi pendapatan bersih.
"Tempoh menoreh juga lebih cepat berbanding sebelum ini, dulu saya keluar menoreh awal pagi hingga jam 12 tengah hari, tetapi sekarang selesai lebih cepat.
"Saya mewarisi kebun getah ini daripada arwah ayah dan belajar menoreh dengannya. Hasil susu getah diperoleh selepas mengguna gas stimulan ini sangat berbeza berbading dulu," katanya.
Suziah berkata, dia mempunyai dua pekerja yang menoreh getah di kebun miliknya itu dan gembira dengan teknologi baharu pertanian daripada FELDA ini kerana memberi pulangan hasil lumayan.
Sementara itu, Pengarah FELDA Wilayah Kedah dan Perlis, Abdul Rahman Ahmad berkata, projek perintis ini satu inovasi yang dapat meningkatkan pendapatan peneroka getah di kawasan rancangan.
Beliau berkata, teknologi terbaru ini dibawa Kementerian Perladangan dan Komoditi dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk projek perintis menggunakan teknologi ini menerusi Belanjawan 2024.
Katanya, penggunaan teknologi baharu ini dapat meningkatkan produktiviti getah dan mengurangkan kebergantungan kepada penoreh.
"Jika kaedah lama, getah perlu ditoreh setiap hari tetapi dengan teknologi ini, penorehan dilakukan hanya tiga hari sekali.
"Apabila kita menoreh setiap hari, lateks akan menitis selama tiga hingga empat jam saja dan hanya 80 gram hingga 100 gram lateks boleh dikumpul sebagai ketulan cawan setiap hari.
"Tetapi dengan teknologi gas ini, susu getah akan menitis antara 24 hingga 48 jam dengan hasil di cawan antara 1.5 kilogram hingga tiga kilogram setiap satu," katanya.
Secara purata, Abdul Rahman berkata, hasil lateks meningkat kira-kira 600 peratus bagi setiap pokok.
"Apabila pokok menghasilkan banyak susu, mereka memerlukan lebih banyak baja dan standardnya ialah menggunakan baja dua kali setahun.
"Dengan teknologi ini, kami perlu memohon sebanyak lima kali setahun, walaupun kos meningkat, tetapi hasil meningkat dengan lebih banyak," katanya.
Abdul Rahman berkata, pihaknya akan meneruskan projek rintis itu dan berusaha mengembangkan teknologi ini ke seluruh kawasan tanaman getah FELDA yang lain.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/04/1390395/penoreh-getah-raih-rm9000-sebulan-lateks-meningkat-selepas-guna-gas
Pages:
[1]