sfhzuraz Publish time 30-4-2025 02:27 AM

Kerajaan Perpaduan bukan hanya gabungan Umno, DAP - Ahmad Maslan

Kerajaan Perpaduan bukan hanya gabungan Umno, DAP - Ahmad Maslan

Noorazura Abdul [email protected]



https://assets.hmetro.com.my/images/articles/AHMAD_MASLAN_MESYUARAT_PERTAMA_PENGGAL_KE_2_PARLIMEN_1745902247.jpg
AHMAD, gambar fail. FOTO NSTP



Alor Setar: Tanggapan bahawa Kerajaan Perpaduan yang memerintah negara hanya membabitkan wakil Umno dan DAP sahaja adalah tidak tepat serta sengaja direka untuk mengelirukan rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata dakwaan sedemikian sering dimainkan pembangkang terutama ketika musim pilihan raya kecil (PRK) sebagai usaha meraih sokongan melalui sentimen negatif yang tidak berlandaskan fakta sebenar.
"Penjelasan saya tentang UMDAP ini mudah sahaja, kerajaan ini bukan dibina atas Umno dan DAP sahaja. Ia terbentuk hasil gabungan 18 parti yang berbeza," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini, hari ini.
Ahmad berkata, sekiranya hanya Umno dan DAP bergabung, jumlah kerusi yang dimiliki hanyalah sekitar 70 kerusi jauh daripada memenuhi keperluan majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.
"Sekarang ini, Kerajaan Perpaduan mempunyai 153 kerusi. Kita bermula dengan 148 kerusi, kemudian tolak satu (Muar) tinggal 147. Selepas itu, enam Ahli Parlimen daripada BERSATU menyatakan sokongan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 153," jelas beliau.
Ahmad berkata, walaupun Parti Muda sudah keluar daripada gabungan, penyertaan enam wakil rakyat Bersatu itu mengekalkan jumlah parti penyokong kerajaan kepada 18.
"Oleh itu, adalah tidak betul untuk menuduh kerajaan ini sebagai kerajaan UMDAP. Kita ada 18 parti, bacalah semua jangan hanya baca dua sahaja," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan utama antara kerajaan dan pembangkang kini terletak pada naratif yang dibawa kedua-dua pihak.
"Pembangkang main sentimen negatif yang tidak betul, Kami pula membina naratif yang betul. Sebab itu rakyat memilih kami kerana kami bercakap benar dan mereka bercakap bohong. Siapa cakap bohong, kalah lah dia. Siapa cakap benar, menang lah dia.
"Saya juga meminta penjelasan ini dibawa oleh pemimpin-pemimpin Umno bahagian untuk diterangkan sepanjang mesyuarat cawangan yang sedang berlangsung kini termasuk di peringkat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri," katanya.


Disiarkan pada: April 29, 2025 @ 12:51pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/04/1213016/kerajaan-perpaduan-bukan-hanya-gabungan-umno-dap-ahmad-maslan



Pages: [1]
View full version: Kerajaan Perpaduan bukan hanya gabungan Umno, DAP - Ahmad Maslan


ADVERTISEMENT