URIMAI mahu reformasi menyeluruh dalam PDRM
Edited by sfhzuraz at 30-4-2025 02:03 AMURIMAI mahu reformasi menyeluruh dalam PDRM
MOHD ISKANDAR OTHMAN
29 April 2025 02:44pm
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/04/29/3104680.webp
David
GEORGE TOWN - Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) menyambut baik kesediaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuka ruang kepada rakyat untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun menggesa agar reformasi dilakukan secara menyeluruh dan bukan sekadar di atas kertas.
Timbalan Pengerusi Interim URIMAI, David Marshel berkata, langkah yang diambil KDN perlu disusuli dengan tindakan berani melaksanakan perubahan demi meningkatkan kecekapan agensi keselamatan negara.
Menurutnya, KDN perlu benar-benar berani melaksanakan reformasi secara menyeluruh, dan bukan hanya mengambil intipati cadangan tanpa tindakan.
Beliau turut mengemukakan beberapa cadangan untuk pertimbangan serius KDN, antaranya ialah pembubaran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan tugasannya diserapkan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Langkah tersebut membolehkan PDRM menumpukan sepenuhnya kepada tugas utama seperti keselamatan, ketenteraman awam dan pencegahan jenayah.
"Selain itu, URIMAI mencadangkan agar PDRM memfokuskan usaha kepada pembanterasan jenayah berat termasuk jenayah kekerasan, dadah dan jenayah siber yang kian berleluasa di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi di lapangan, David turut mengesyorkan agar perkhidmatan anggota peronda berpangkat Lans Koperal ke bawah diswastakan, mencontohi model Polis SISCO di Singapura.
Katanya, langkah ini dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dari segi imbuhan tetap dan pembayaran pencen, membolehkan penggajian lebih ramai anggota peronda swasta, meningkatkan urus tadbir sistematik serta mengurangkan risiko rasuah.
Tambah beliau, dengan adanya penswastaan, beban kewangan kerajaan dapat dikurangkan, sekali gus membolehkan pelantikan lebih ramai pegawai penyiasat di PDRM.
"Perkara ini penting bagi memastikan semua laporan polis yang diterima dapat disiasat secara menyeluruh, berbanding amalan semasa di mana hanya sebahagian laporan dibuka kepada kertas siasatan (IP) berdasarkan budi bicara pegawai penyiasat.
"Ini akan membantu meningkatkan kadar penyelesaian kes, prestasi KPI setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), dan seterusnya memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti siasatan polis,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/725719/berita/semasa/urimai-mahu-reformasi-menyeluruh-dalam-pdrm
Pages:
[1]