KKM sahkan terdapat kluster ILI babitkan pelajar di Kedah
Edited by sfhzuraz at 29-4-2025 04:59 PMKKM sahkan terdapat kluster ILI babitkan pelajar di Kedah
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
29 April 2025 04:15pm
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/04/29/3104881.webp
Laporan Sinar Harian mengenai jangkitan membabitkan pelajar dan kakitangan sebuah sekolah di Daerah Kuala Muda.
SUNGAI PETANI - Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda mengesahkan terdapat kluster Influenza-Like-Ilness (ILI) dalam kalangan pelajar di sebuah institusi pendidikan di daerah itu.
KKM melalui satu kenyataan menjelaskan, merujuk kepada laporan media mengenai kejadian penyakit berjangkit melibatkan pelajar dan kakitangan institusi berkenaan.
Menurut kenyataan berkenaan, PKD Kuala Muda mengesan kluster ILI dalam kalangan pelajar institusi terbabit pada 23 April lalu melibatkan 28 kes daripada 158 pelajar yang terdedah dengan kadar serangan 17.7 peratus.
"Enam daripada 28 kes telah disahkan positif Influenza A dan telah dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani serta telah dibenarkan pulang ke rumah manakala 22 pelajar yang bergejala ILI telah menerima rawatan sebagai pesakit Iuar.
"Tindakan kawalan dan pencegahan oleh PKD dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah dilaksanakan termasuk siasatan persekitaran, penilaian risiko di kawasan kem, pengesanan kes secara aktif di institusi pendidikan berkenaan, rawatan serta pengasingan untuk kes bergejala dan pemantauan kes ILI di Daerah Kuala Muda," katanya.
Menurut kenyataan sama, pada 23 April 2025, PKD Kuala Muda juga telah menerima notifikasi kejadian membabitkan seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun dari institusi pendidikan yang sama.
"Pelajar tersebut mengalami gejala demam serta sakit badan terutamanya pinggul kanan pada 18 April 2025 selepas menghadiri sebuah program Kem Jati Diri selama dua hari di sebuah pusat rekreasi di daerah Yan, Kedah.
"Di samping itu, terdapat seorang kakitangan daripada institusi pendidikan sama mengalami gejala demam, kelesuan, batuk dan sakit badan sejak 17 April 2025," katanya.
Kedua-dua kes ini telah dimasukkan ke wad di HSAH dan berada dalam keadaan stabil.
Ujian yang telah dijalankan menunjukkan kedua-dua kes adalah negatif untuk jangkitan virus Influenza.
Bagaimanapun, jelas kenyataan tersebut, punca jangkitan untuk kedua-dua kes berkenaan masih dalam siasatan.
KKM dalam masa sama menasihati orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan; mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin; memakai pelitup muka terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan atau yang bergejala; serta mendapatkan vaksinasi influenza secara tahunan.
"Dapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di fasiliti kesihatan kerajaan ataupun swasta sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk, dan selesema yang berpanjangan,"katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria bahawa terdapat 39 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah di sini dikesan mengalami jangkitan akibat penularan penyakit berjangkit selepas pulang dari menyertai kem di Yan baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, penyakit berjangkit itu, setakat ini, masih belum dikenal pasti.
https://www.sinarharian.com.my/article/725740/edisi/utara/kkm-sahkan-terdapat-kluster-ili-babitkan-pelajar-di-kedah
Pages:
[1]