Kapal korek ditahan bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Kendi
Kapal korek ditahan bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau KendiSYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
29 April 2025 04:24pm
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/04/29/3104911.webp
Kapal korek yang ditahan Maritim Pulau Pinang pada petang Isnin selepas didapati bersauh tanpa kebenaran.
GEORGE TOWN - Tindakan sebuah kapal korek yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Kendi membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang dalam satu pemeriksaan rutin, petang Isnin.
Kapal yang membawa muatan pasir itu dikesan kira-kira 0.6 batu nautika tenggara Pulau Kendi sebelum diperiksa oleh bot peronda Maritim Pulau Pinang pada jam 4.30 petang.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, kapal terbabit dikendalikan oleh lapan kru warga asing yang terdiri daripada rakyat Indonesia dan China.
“Semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan tidak memiliki kebenaran untuk bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia seperti yang dikehendaki undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/04/29/3104910.webp
Kapal terbabit dikendalikan oleh lapan kru warga asing yang terdiri daripada rakyat Indonesia dan China.
Menurutnya, dua kru kapal berusia antara 35 hingga 59 tahun telah dibawa ke pejabat Maritim Pulau Pinang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 491B(1), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang laut negara.
“Pengawasan akan terus dipertingkatkan khususnya terhadap sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negeri ini,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama memohon komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan kelestarian perairan negara.
https://www.sinarharian.com.my/article/725742/berita/semasa/kapal-korek-ditahan-bersauh-tanpa-kebenaran-di-perairan-pulau-kendi
Pages:
[1]