sfhzuraz Publish time 29-4-2025 03:43 PM

PGA gagalkan cubaan seludup kaki, hati ayam sejuk beku bernilai lebih RM1 juta ke negara jiran

PGA gagalkan cubaan seludup kaki, hati ayam sejuk beku bernilai lebih RM1 juta ke negara jiran

Oleh Aizat Sharif - April 29, 2025 @ 3:27pm



https://assets.bharian.com.my/images/articles/kaki_1745911664.jpg
Komader PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim (berkaca mata, tengah) menunjukkan bahagian kaki dan hati ayam sejuk beku yang cuba diseludup ke Thailand di sebuah gudang tinggal di Kawasan Perindustrian Padang Besar. - Foto AIZAT SHARIF


PADANG BESAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara membongkar aktiviti penyeludupan ayam sejuk beku ke negara jiran selepas merampas 31,200 kilogram (kg) kaki dan hati ayam sejuk beku bernilai lebih RM1.8 juta yang disimpan sebuah gudang tinggal, di sini semalam.
Dalam serbuan jam 7 petang itu, anggota PGA dari Batalion 1 PGA Ulu Kinta, Perak turut menahan dua lelaki warga Thailand berusia 22 dan 34 tahun yang dipercayai penjaga gudang berkenaan yang terletak di Kawasan Perindustrian Padang Besar berhampiran Jalan Kangar-Padang Besar.
Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, pihaknya melakukan risikan terhadap kegiatan berkenaan sejak dua minggu lalu sebelum bertindak menyerbu gudang berkenaan semalam.
"Sebelum serbuan dilakukan, kita turut melakukan pemerhatian di lokasi kejadian di mana mendapati dua lori pikap berpendaftaran Thailand jenis Toyota Hilux sedang memasuki gudang berkenaan.
"Kita kemudian menyerbu gudang berkenaan dan berjaya menahan kedua-dua suspek berkenaan ketika mereka sedang leka memasukkan bahagian ayam sejuk beku ke pikap berkenaan dan pemeriksaan mendapati terdapat barangan ubi kentang seberat 1,400 kg dan kaki ayam sejuk beku seberat 5,200 kg dalam kenderaan sama.
"Pemeriksaan selanjutnya di gudang itu kemudian menjumpai lima kontena dijadikan peti sejuk beku serta tempat penyimpanan bagi kaki dan hati ayam dibungkus dalam kotak dan plastik yang dianggarkan berat sebanyak 41,200 kg," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di gudang berkenaan di Kawasan Perindustrian Padang Besar, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menemui sebuah jentera 'forklift' yang digunakan untuk mengeluarkan barangan ayam sejuk beku ini daripada kontena berkenaan sebelum diisi ke dalam lori pikap itu.
"Semakan kita mendapati, gudang ini dijadikan sebagai transit untuk barangan ayam sejuk beku ini sebelum dibawa ke Thailand menggunakan lori pikap yang sering digunakan untuk membawa barangan runcit.
"Malah, kaki dan hati ayam sejuk beku ini didapati tidak mempunyai kelulusan sijil kesihatan veterinar dibawah Seksyen 13 Akta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sebagai syarat untuk dieksport ke negara jiran.
"Dalam masa yang sama juga, kedua-dua suspek ini turut didapati tidak mempunyai permit pekerjaan yang sah yang boleh disiasat mengikut Peraturan_Peraturan Imigresen," katanya.
Beliau berkata, selain kaki dan hati ayam sejuk beku, pihaknya turut merampas dua lori pikap jenis Toyota Hilux dari negara Thailand, lima buah kontena, ubi kentang dan jentera 'forklift' dianggarkan bernilai RM1.893 juta.
"Kita percaya kontena ini sudah lama diletakkan di sini dan gudang ini juga sudah lama digunakan sejak 2022 namun ia terbiar kerana tidak ada sebarang perniagaan dilaksanakan di sini.
"Malah, jika kita lihat kaki dan hati ayam ini tidak dibungkus dengan elok mengikut spesifikasi malah air darah ayam ini juga dilihat masih menitik dimana ia boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan," katanya.
Shahrum berkata, kedua-dua suspek akan diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/04/1390135/pga-gagalkan-cubaan-seludup-kaki-hati-ayam-sejuk-beku-bernilai-lebih-rm1




Pages: [1]
View full version: PGA gagalkan cubaan seludup kaki, hati ayam sejuk beku bernilai lebih RM1 juta ke negara jiran


ADVERTISEMENT