sfhzuraz Publish time 28-4-2025 08:16 PM

Remaja Sepanyol sambar dua gelaran Penang Skyrace

Remaja Sepanyol sambar dua gelaran Penang Skyrace

Oleh Helmi Talkah - April 28, 2025 @ 5:01pm



https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2025-04-28_at_16.02.04_1745830865.jpg
Marcos Villamuera Izquierdo meraikan kejayaan di garisan penamat selepas meraih kemenangan bergaya pada Kailas Penang Skyrace 2025. Foto Penang Skyrace.


KUALA LUMPUR: Pelari remaja Sepanyol, Marcos Villamuera Izquierdo, mencuri tumpuan di acara Kailas Penang Skyrace 2025 apabila menjuarai kedua-dua kategori 30km Pro Sky dan 10km Short Sky yang berlangsung di Bukit Bendera, Pulau Pinang, hujung minggu lalu.
Dalam saingan 30km Pro Sky pada Sabtu, Izquierdo, 19, menamatkan perlumbaan dengan masa 3 jam 45 minit 22 saat (3:45:22), mengatasi pencabar terdekat dari Mongolia, Luvsansharav Natsagdorj, yang mencatat 4:00:24.
Pelari tempatan, Milton Amat dan Daved Simpat, turut mencuri perhatian apabila masing-masing menamatkan saingan di tempat ketiga (4:03:21) dan kelima (4:44:06).
Tidak cukup dengan kejayaan itu, Izquierdo kembali beraksi cemerlang dalam kategori 10km Short Sky pada Ahad dengan mencatat masa 1:14:39, mengatasi Benjamin Townsend dari Amerika Syarikat (1:19:51) dan Hiroyuki Kawachi dari Jepun (1:24:49).
Kemenangan berganda itu turut menyaksikan Izquierdo dinobatkan sebagai juara peringkat bagi Siri Trofeo Esteban Olivero Bawah-23, yang pertama kali dianjurkan di Malaysia dalam kalendar 14 pusingan di seluruh dunia.
"Perlumbaan ini sangat mencabar, antara yang paling sukar pernah saya sertai, terutama kerana cuaca panas dan kelembapan tinggi," katanya yang pada awalnya hanya merancang untuk menyertai acara 10km.
"Namun, saya mahu mencabar diri sendiri dan berasakan ini peluang terbaik untuk memperbaiki prestasi, khususnya dalam cuaca panas yang jarang saya hadapi."
Dalam kategori 30km Pro Sky wanita, pelari Perancis, Iris Pessey, muncul juara dengan catatan 4:48:03, memperbaiki kedudukan naib juara yang diraih tahun lalu.
Tempat kedua menjadi milik Simone Brick dari Australia (4:56:58) manakala pelari Mongolia, Dulamsuren Myagmar, di tempat ketiga (5:01:24).
Acara Kailas Penang Skyrace yang dianjurkan oleh MMTF Consultant, Malaysia Mountain Goat dan Penang International Hikers itu menghimpunkan lebih 1,200 peserta dari seluruh dunia.
Ia turut merangkumi kategori 50km Sky Ultraks yang menjadi sebahagian siri Kejohanan Asia Trail Master dan acara 5km Fun Sky untuk pelari baru.
Dalam perlumbaan 50km, pelari Filipina, Godwin Mirar, dan wakil Vietnam, Hau Ha, masing-masing mengungguli kategori lelaki dan wanita, manakala pelari Malaysia, Wilsen Singgin, menceriakan penyokong tempatan apabila meraih tempat kedua dalam kategori lelaki.
Tahun ini, Siri Dunia Merrell Skyrunner merangkumi 23 perlumbaan di seluruh dunia dengan Malaysia menjadi salah satu daripada hanya empat negara Asia tersenarai dalam kalendar berprestij itu.
https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2025/04/1389835/remaja-sepanyol-sambar-dua-gelaran-penang-skyrace




Pages: [1]
View full version: Remaja Sepanyol sambar dua gelaran Penang Skyrace


ADVERTISEMENT