Piala Sudirman: Malaysia menang 5-0 atasi Perancis
Kuala Lumpur: Malaysia bermula langkah kanan dalam saingan Piala Sudirman selepas tidak berdepan masalah untuk menang 5-0 ke atas Perancis dalam aksi pertama Kumpulan C, hari ini.
Beregu utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang turun dalam perlawanan pertama mudah menewaskan pasangan Perancis, Mael Cattoen-Lucas Renoir 21-11, 21-9 hanya dalam masa 29 minit.
Bagi Sze Fei, meskipun berjaya meraih mata pertama buat Malaysia, namun dia melihat masih ada beberapa aspek yang perlu diatasi untuk perlawanan seterusnya.
"Saya rasa kami masih berusaha untuk menyesuaikan diri (dalam gelanggang) dan cuba untuk menang. Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki," katanya.
Sementara itu, Izzuddin mengakui terdapat cabaran di gelanggang iaitu keadaan angin sehingga mengganggu pergerakan bulu tangkis dan itu membuatkan mereka perlu beraksi lebih berhati-hati.
"Bulu tangkis agak perlahan. Pergerakan angin juga sangat kuat. Apa yang kami perlu buat adalah untuk membiasakan keadaan gelanggang ketika ini," kata Izzuddin.
Selepas itu, pemain wanita profesional negara, Goh Jin Wei juga tidak berdepan masalah mengetepikan lawan, Leonice Huet 21-10, 21-19 dalam masa 33 minit.
Begitupun perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terpaksa mengerah keringat sebelum menang 22-20, 21-19 dalam aksi yang berlangsung hampir 60 minit.
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah juga seperti di jangka hanya memerlukan 32 minit untuk menamatkan cabaran wakil Perancis, Camille Pognante- Margot Lambert 21-13, 21-10 sebelum pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai menutup dengan kemenangan straight set 21-7, 21-19 ke atas Gregoire Deschamp-Elsa Jacob.
Untuk perlawanan kedua esok, Malaysia akan turun menentang Australia dan sekiranya menang, skuad badminton negara sudah menjamin tempat ke suku akhir Piala Sudirman. - HARIAN METRO
Pages:
[1]