Pemulihan bekalan air 100 peratus dijangka Isnin ini
Edited by sfhzuraz at 28-4-2025 03:12 AMPemulihan bekalan air 100 peratus dijangka Isnin ini
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
27 April 2025 02:55pm
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/04/27/3102160.webp
Kerja-kerja pemasangan paip di Kampung Teluk, Sungai Perai telah siap sepenuhnya dan ketika ini, kerja pelepasan air di dalam paip sedang dijalankan.
GEORGE TOWN - Pemulihan bekalan air di semua kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) dijangka mencapai 88 peratus pada malam ini susulan kerja di semua projek air hampir siap.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berharap agar jangkaan pemulihan bekalan air 100 peratus pada jam 10 pagi Isnin dapat dicapai.
Menurutnya, sehingga jam 1.48 petang Ahad, kerja-kerja pemasangan paip di Kampung Teluk, Sungai Perai yang bermula pada jam 10 malam Jumaat lalu telah siap walaupun kerja pemasangan berhadapan dengan beberapa kesulitan.
"Kerja-kerja pemasangan paip oleh PBAPP yang bermula pada malam Jumaat lalu dalam operasi berjadual telah siap sepenuhnya walaupun ada kelewatan daripada masa yang diumumkan.
"Memandangkan kerja ini amat mencabar kerana berada di tepi Sungai Perai dan akibat air pasang dua hari ini, maka pekerja kontraktor menghadapi pelbagai kesulitan dan cabaran namun syukur, tengah hari ini kerja-kerja pemasangan dapat disempurnakan.
"Jadual untuk memulihkan 88 peratus pada malam ini diharap dapat dicapai, sekali gus pemulihan 100 peratus pada jam 10 pagi esok (Isnin) akan dicapai agar operasi ini dapat diisytiharkan tamat dan disempurnakan," katanya.
Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata demikian ketika mengadakan tinjauan kerja projek di Jalan Kampung Teluk, Seberang Perai Tengah (SPT) pada Ahad.
Tambah beliau, PBAPP kini sedang menjalankan ujian dan melepaskan angin di dalam sistem paip sebelum bekalan air dapat disalurkan dari Loji Rawatan Sungai Dua kepada pengguna di semua daerah khususnya Seberang Perai Selatan (SPS), sebahagian Timur Laut dan (TL) Barat Daya (BD).
"Tiga daerah ini akan mula menerima air sedikit masa lagi yang mana, petugas PBAPP kini berada di lapangan untuk melepaskan angin yang terperangkap di dalam saluran paip. Kerja ini supaya apabila air terawat ini disalurkan dari Loji Rawatan Sungai Dua nanti, maka akan berlaku kelancaran air kepada pengguna.
"Sebab itu kita jangka 88 peratus pemulihan bekalan air pada malam ini. Oleh itu, saya mohon pengguna khususnya di kawasan-kawasan yang masih terkesan agar sabar dan jangan guna air simpanan terlalu banyak.
"Kawasan yang sudah mendapat bekalan air, boleh menyalurkan air yang disimpan kepada komuniti terdekat yang belum menerima bekalan air," ujarnya.
Beliau berkata, ketika ini juga, PBAPP sedang memantau tangki dan lori air yang diletakkan di kawasan komuniti dengan kerjasama wakil rakyat.
"Tumpuan sekarang di BD dan SPS. Kawasan hujung paip agihan (EoL) mungkin akan lambat sedikit menerima air berbanding di kawasan lain.
"Harap pengguna bersabar," tambahnya.
Terdahulu, PBAPP memohon pengguna yang akan terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual bermula Jumaat untuk menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan selama 24 hingga 60 jam.
Menurut PBAPP, 40 peratus atau 136,683 daripada 341,708 akaun pengguna di semua kawasan yang terjejas di SPU, SPT dan TL di bahagian pulau dijangka mengalami gangguan bekalan selama 24 jam.
Tempoh gangguan bekalan bagi 163,502 atau 48 peratus akaun pengguna di SPS yang terjejas kecuali Kampung Sungai Baong, Kampung Wellesley, Taman Seruling Emas, Taman Widuri, Sungai Duri dan Kompleks Kuarters Penjara Seberang Perai dijangka berlaku selama 48 jam.
Seramai 41,523 atau 12 peratus pengguna di semua kawasan di BD kecuali Balik Pulau (kejiranan di bahagian selatan), Gertak Sanggul, Kampung Terang, Pulau Betong and Sungai Ara dijadual mengalami gangguan bekalan selama 60 jam sehingga 10 malam Ahad.
https://www.sinarharian.com.my/article/725370/edisi/utara/pemulihan-bekalan-air-100-peratus-dijangka-isnin-ini
Pages:
[1]