Tak berkurang pun pendapatan dengan kongsi resipi itu'
Tak berkurang pun pendapatan dengan kongsi resipi itu'Redzuan [email protected]
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2025-04-27_12-56-20_1745729955.jpg
MOHD Zaidi tidak lokek berkongsi resipi dan tip masakan di TikTok walaupun sibuk sebagai pengusaha warung. FOTO Ihsan Mohd Zaidi Sabani
Kangar: Sering berkongsi resipi dan tip menyediakan masakan di TikTok, pengusaha warung ini membuktikan sikap tidak lokek ilmu itu sebagai kunci untuknya meraih populariti.
Jadi, tidak hairanlah Mohd Zaidi Sabani, 42, atau dikenali dengan nama Ceo Tukang Masak di TikTok mengumpul 284,000 pengikut setakat ini dengan rata-ratanya ternanti perkongsian video terbarunya.
Mohd Zaidi berkata, perkongsian video resipi makanan itu salah satu cara dilakukan untuk berkongsi ilmu dengan pengikut.
Walaupun sibuk menguruskan dan menjadi tukang masak di warungnya dekat Taman Ira Jaya, di sini, Mohd Zaidi cuba memuat naik sekurang-kurangnya satu video resipi setiap hari.
"Ada segelintir orang mungkin tak nak berkongsi kerana anggap ia resipi rahsia mereka tapi saya pula sebaliknya.
"Bagi saya, tak berkurang pun pendapatan dengan kongsi resipi itu malah bantu mempromosikan lagi warung kecil saya.
"Lagipun, bukan semua orang yang menonton akan cuba buat dan niat saya sebenarnya nak bantu peniaga baharu atau mereka yang belum tahu cara memasak dengan betul kerana ada ilmu saya ajar tak boleh dapat dalam buku," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Mohd Zaidi, selain peniaga baru, video dikongsikannya juga menyasarkan mereka yang suka dengan masakan kampung dan mudah disediakan.
Katanya, makanan itu menjadi pilihannya supaya mereka yang menonton tidak perlu menyediakan bahan banyak dan rumit untuk menyediakannya.
"Kalau tengok resipi makanan saya kongsikan di video TikTok itu rata-ratanya makanan harian walaupun saya boleh ajar cara masakan di hotel kerana pernah bekerja sebagai cef di situ.
"Contohnya saya pernah kongsi resipi buat telur dadar kerana ada bertanya macam mana cara nak hasilkan seperti yang mereka makan di restoran.
"Pendek cerita, saya suka kongsi video resipi masakan yang ringkas tapi sedap dan boleh dijadikan menu harian," katanya.
Mohd Zaidi berharap, perkongsian videonya di TikTok memberi manfaat dan mahu terus berkongsi lebih banyak resipi serta tip memasak dengan pengikut.
Berkongsi hala tujunya, Mohd Zaidi merancang membuka kedai makan dalam waktu terdekat selain studio yang lebih selesa untuk merakam video untuk dimuat naik di media sosial.
"Buat masa ini, pekerja yang bantu rakam video dan saya pun tak ada sunting kerana guna pendekatan santai.
"Tapi bila ada rezeki nanti, saya nak wujudkan studio kerana teringin buka kelas juga untuk mengajar supaya lebih ramai pandai masak kerana dunia masakan ini memang boleh buat duit.
"Itu perancangan saya tapi sekarang pun, saya sudah bersyukur kerana ramai sokong perniagaan sejak ada ramai pengikut di TikTok dan dapat banyak juga tawaran buat video memasak daripada syarikat besar. Tapi ada yang terpaksa ditolak kerana tak dapat beri komitmen dan jenama dalam senarai boikot," katanya.
Disiarkan pada: April 27, 2025 @ 12:59pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/04/1212263/tak-berkurang-pun-pendapatan-dengan-kongsi-resipi-itu
Pages:
[1]