Kedah bincang haramkan vape
Kedah bincang haramkan vapeNoorazura Abdul [email protected]
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0408rsvape_1745735163.jpg
Gambar hiasan
Sungai Petani: Kerajaan negeri Kedah akan membincangkan saranan mengharamkan penjualan vape dalam mesyuarat EXCO minggu depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata perkara itu diambil serius selepas menerima maklumat mengenai bahaya vape yang didakwa lebih buruk daripada rokok, termasuk dakwaan ia mengandungi bahan kimia berbahaya dan dadah jenis 'mushroom'.
"Kalau boleh kita pun nak ikut macam Terengganu. Mereka kata vape ini sangat bahaya, lebih bahaya daripada rokok.
"Banyak bahan kimia dalam vape, malah ada yang campur dadah 'mushroom', sangat bahaya," katanya.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan mencari jalan terbaik bagi menangani isu terbabit demi melindungi kesejahteraan generasi muda di negeri ini.
"Jadi kita akan bincangkan perkara ini dan buat keputusan terbaik demi anak-anak kita," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Akademi Darul Ilmi (ADI) di Dewan Utama ADI di sini, hari ini.
Kelmarin, media melaporkan kerajaan Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik (vape) di semua premis seluruh negeri mulai 1 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah dilaporkan berkata
penguatkuasaan terbabit adalah langkah proaktif kerajaan dalam membendung penjualan dan penggunaan produk vape yang memberi kesan negatif terhadap kesihatan rakyat terutama generasi muda.
Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata beliau tetap berpuas hati dengan sokongan pengundi teras PN walaupun gabungan itu tewas.
"Bilik gerakan baru sahaja hantar analisa... saya pun tak sempat nak baca lagi.
"Tapi secara keseluruhan, undi pengundi teras kita tidak berkurang, tetap 'maintain' di sana (DUN Ayer Kuning)," katanya.
Beliau berkata, walaupun undi tidak bertambah, keputusan tersebut masih dianggap baik buat PN.
Dalam PRK tersebut, Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning selepas calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir, mengalahkan calon PN, Abdul Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), K.S. Bawani dalam pertandingan tiga penjuru.
Disiarkan pada: April 27, 2025 @ 2:26pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/04/1212301/kedah-bincang-haramkan-vape
Pages:
[1]