Sivasangari, Eain Yow, Rachel mara ke final
Sivasangari, Eain Yow, Rachel mara ke finalApril 27, 2025 @ 11:33am
https://assets.bharian.com.my/images/articles/skuas27425a_1745724781.jpg
S Sivasangari mengalahkan pilihan kedua Tinne Gilis dari Belgium pada separuh akhir Piala Grasshopper di Zurich, Switzerland. – Foto PSA Squash Tour
KUALA LUMPUR: Bintang skuasy negara S Sivasangari mara ke final Piala Grasshopper 2025 dengan bergaya selepas menyingkirkan pilihan kedua pada separuh akhir di Zurich, Switzerland awal pagi tadi.
Pemain nombor 11 dunia itu mempamerkan persembahan memukau untuk mengatasi Tinne Gilis dari Belgium 13-11, 7-11, 11-8, 15-13 dalam masa 53 minit, menurut laman sesawang rasmi Jelajah Skuasy PSA.
Pada final awal pagi esok, Sivasangari akan berdepan pemain nombor satu dunia Nouran Gohar dari Mesir, yang menundukkan pemain England, Georgina Kennedy 11-2, 8-11, 11-5, 11-1 pada satu lagi separuh akhir.
Gohar tidak pernah kalah dalam tiga pertembungan dengan Sivasangari sebelum ini.
"Sudah tentu, ia sengit - ia terlalu sukar hingga ke akhirnya. Saya melakukan tiga kesilapan memalukan ketika berdepan tiga mata penamat. Saya fikir akhirnya saya berjaya menangani perasaan gemuruh, saya berjaya kekal positif sebaik mungkin," kata Sivasangari selepas perlawanan.
https://assets.bharian.com.my/images/articles/skuas27425b_1745724784.jpg
Rachel Arnold beraksi ketika menentang Rowan Elaraby pada separuh akhir Terbuka Squash On Fire di Washington. – Foto PSA Squash Tour
"Saya mempunyai keseluruhan pasukan membantu saya hari ini jadi saya benar-benar bersyukur. Saya amat gembira layak ke final.
"Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengalahkan pemain ini dan ia datang."
Sementara itu, pada kejohanan Terbuka Squash On Fire di Washington, Amerika Syarikat, dua pemain negara Rachel Arnold dan Ng Eain Yow turut memastikan tempat ke perlawanan akhir pagi esok.
Kemenangan Rachel lebih bermakna apabila dia mengejutkan pilihan utama dari Mesir, Rowan Elaraby 3-11, 11-6, 12-10, 6-11, 11-7 dalam tempoh 51 minit.
Pilihan keempat itu akan berdepan pemain tuan rumah dan pilihan ketiga Amanda Sobhy, yang mengalahkan Kenzy Ayman 11-8, 11-4, 11-6.
https://assets.bharian.com.my/images/articles/skuas27425c_1745724787.jpg
Ng Eain Yow meraikan kemenangan ke atas pemain Mesir, Kareem El Torkey di Washington. – Foto PSA Squash Tour
Eain Yow, pilihan kedua kejohanan, mengatasi pemain bukan pilihan dari Mesir, Kareem El Torkey pada separuh akhir 11-5, 11-4, 11-6.
Menanti Eain Yow pada final adalah pilihan utama Marwan Elshorbagy dari England, yang menewaskan Gregoire Marche dari Perancis 11-8, 11-7, 9-11, 11-8.
Sebagai rekod, Eain Yow kalah semua tiga perlawanannya menentang Elshorbagy. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/04/1389341/sivasangari-eain-yow-rachel-mara-ke-final
Pages:
[1]