Rumah keluarga berkumpul setiap Aidilfitri musnah terbakar
Rumah keluarga berkumpul setiap Aidilfitri musnah terbakarOleh Zuliaty Zulkiffli - April 27, 2025 @ 9:07am
https://assets.bharian.com.my/images/articles/Zue_sendphoto_1745714259_1745724583.jpg
Rumah milik Hashim Abdul Rashid, 66, yang musnah dalam kebakaran. - Foto ihsan pembaca
KUALA NERANG: Rumah tempat sembilan sekeluarga berkumpul setiap Aidilfitri milik Hashim Abdul Rashid, 66, musnah terbakar, petang semalam.
Tragedi di Kampung Kubang Palas itu , berlaku sekitar jam 6 petang semalam ketika beliau isteri, Zaiton Ali, 65, berada di kedai runcit milik mereka kira-kira dua kilometer dari rumah itu.
Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh anak saudaranya yang rumah mereka terbakar, menyebabkan dia bergegas ke lokasi.
"Masa tu masih hujan lebat, tetapi benda nak jadi, sebaik saya sampai rumah dah habis terbakar.
"Mujur anak bongsu saya sudah pulang ke asrama sekolahnya petang tadi, jika tidak saya tahulah apa nak cakap kerana biasanya dia bersendirian di rumah kalau pulang bercuti kerana saya dan isteri tinggal di kedai runcit.
"Namun, setiap petang saya akan singgah untuk melihat rumah ini tetapi terkejut apabila segala barangan dan rumah habis terbakar," katanya ketika dihubungi hari ini.
Hashim mempunyai tujuh anak kesemuanya yang tinggal berasingan, namun apabila ada kenduri atau sambutan, rumah itulah tempat mereka berkumpul sekeluarga.
Katanya, dia menganggarkan kerugian lebih RM50,000 kerana semua barangan elektrik dan perabot serta sebahagian rumah itu musnah.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Aminuddin Mad Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 6.08 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Kuala Nerang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Azizan Jusoh tiba di lokasi bersama tujuh anggota tidak lama kemudian.
"Kebakaran membabitkan sebuah rumah satu tingkat separa kekal yang mengakibatkan kemusnahan 90 peratus.
"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu dan api berjaya dikawal pada jam 6.45 petang. Setakat ini punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/04/1389290/rumah-keluarga-berkumpul-setiap-aidilfitri-musnah-terbakar
Pages:
[1]