Sainz yakin Madrid bakal jadi perlumbaan terbaik F1
Sainz yakin Madrid bakal jadi perlumbaan terbaik F1Reuters
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/MOTOR-F1-SAUDI__0a0c1435cced4975ad3e22c6ba5ffa13_1745639805.jpg
SAINZ menjadi duta rasmi perlumbaan berkenaan. FOTO Reuters
Madrid: Pemandu Formula Satu (F1) negara tuan rumah, Carlos Sainz percaya Litar Bandaraya Madrid mampu menjadi perlumbaan terbaik dalam kalendar F1 apabila ia melakukan penampilan sulung musim depan.
Pelumba kelahiran Madrid itu berkata, litar sepanjang 5.47 kilometer dengan 22 selekoh itu mempunyai karakter hibrid tersendiri – menggabungkan bahagian jalan raya yang sempit dengan laluan terbuka berkelajuan tinggi.
"Saya fikir kita boleh menjadi perlumbaan terbaik di dunia dan acara terbaik dalam seluruh kalendar," kata Sainz, yang juga duta rasmi acara itu, kepada pemberita semalam.
"Akan ada 24 atau 25 perlumbaan, dan saya secara jujur rasa bersama Mexico, Miami dan Las Vegas yang juga melakukannya dengan baik, tetapi saya sangat percaya Madrid boleh lakukan lebih baik."
Menurut pihak berkuasa tempatan, semua lesen dan dokumen rasmi disiapkan mulai Jumaat lalu untuk membolehkan kerja pembinaan dimulakan dalam masa terdekat.
Dua syarikat kejuruteraan, Acciona dari Sepanyol dan Eiffage dari Perancis memenangi kontrak untuk membina litar yang akan terletak di kawasan timur laut bandar Madrid, mengelilingi pusat pameran IFEMA.
Projek itu dijangka siap menjelang Mei 2026 dengan kos keseluruhan sebanyak €83.2 juta (RM431.3 juta), menurut kenyataan rasmi Acciona.
Litar Madrid dijangka akan menggantikan Litar Catalunya di Barcelona, yang kini menjadi tuan rumah Grand Prix Sepanyol.
Bagaimanapun, musim depan kedua-dua bandar besar itu bakal menganjurkan perlumbaan dalam tahun terakhir kontrak Barcelona, menjadikan Sepanyol satu-satunya negara Eropah dengan dua perlumbaan F1.
Disiarkan pada: April 26, 2025 @ 11:56am
https://www.hmetro.com.my/arena/permotoran/2025/04/1211850/sainz-yakin-madrid-bakal-jadi-perlumbaan-terbaik-f1
Pages:
[1]