Jonathan tekad layak ke Sukan Sea Thailand
Jonathan tekad layak ke Sukan Sea ThailandAmirul Fazli [email protected]
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/nye_1745653943.jpg
JONATHAN (kanan) bakal dicabar beberapa jaguh 100m untuk meraih tiket ke Sukan Sea Thailand.
Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Jonathan Nyepa meletakkan sasaran utama untuk layak secara merit ke Sukan Sea Thailand hujung tahun ini.
Menurut atlet berusia 29 tahun itu, dia perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan tiket ke temasya dwi-tahunan itu berjaya diperoleh.
Baginya, untuk mencipta kejayaan, atlet harus meningkatkan sistem latihan kerana itu akan membawa seseorang pelari itu semakin dekat dengan kejayaan.
"Sasaran saya untuk 2025 ialah pertama sekali, saya mahu layak beraksi di Sukan Sea Thailand. Sebenarnya, kejayaan seorang atlet itu tak bergantung pada bakat.
"Dia kena konsisten sebenarnya. Seseorang itu memerlukan konsisten di dalam latihan dan fokus. Baru boleh ada hasil,"katanya.
Namun begitu, dia akui perkara itu bukan mudah kerana kadang-kala terdapat beberapa halangan yang harus atlet itu hadapi termasuk paling menakutkan, kecederaan serius sehingga boleh meranapkan karier mereka.
"Cabaran paling besar ialah kecederaan. Kalau rasa macam ada sesuatu yang sakit-sakit, tak sedap, perkara itu jadi tak selesa untuk latihan, ia akan mengganggu fokus sebenarnya. Jadi, benda paling mencabar untuk saya,"katanya.
Untuk makluman, mengikut rekod statistik Olahraga Dunia (WA), catatan terbaik atlet kelahiran Sarawak dalam acara 100 meter (m) pada 2024 adalah 10.41 saat (s) yang dilakukannya di Kejohanan Terbuka Perlis yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra pada Oktober tahun lalu.
Ketika ini, Jonathan sudah pasti akan bersaing dengan beberapa lagi rakan senegara seperti Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Arsyad Saat, Khairul Hafiz Jantan dan pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi.
Kali terakhir Malaysia menang emas dalam acara 100m adalah pada Sukan Sea Filipina 2019 menerusi Haiqal Hanafi. Malah atlet itu juga berjaya membawa pulang pingat gangsa pada edisi di Kemboja.
Disiarkan pada: April 26, 2025 @ 3:52pm
https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2025/04/1211958/jonathan-tekad-layak-ke-sukan-sea-thailand
Pages:
[1]