sfhzuraz Publish time 26-4-2025 02:45 PM

Debaran malam penentuan

Debaran malam penentuan

Oleh Zulfaizan Mansor - April 26, 2025 @ 9:00am



https://assets.bharian.com.my/images/articles/BHDEBAR_1745629213.jpg
Sama ada Harimau Selatan atau Tok Gajah menawan pentas akhir itu, ia tetap akan melakar rekod atau sejarah besar Liga M


KUALA LUMPUR: Pertembungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC (SPFC) dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini boleh dianggap sebagai pertarungan mencipta sejarah.
Tidak kira sama ada Harimau Selatan atau Tok Gajah yang menawan pentas akhir itu, ia tetap akan melakar rekod atau sejarah besar buat saingan Liga Malaysia (Liga M).
Seandainya JDT menang, skuad kendalian Hector Bidoglio akan mencipta satu lagi rekod baharu iaitu 'hatrik quadruple' atau memenangi empat piala dalam tiga musim berturut-turut.
Pencapaian itu pasti akan memahat sejarah besar dalam kancah bola sepak negara yang mana ia pasti sukar untuk mana-mana pasukan memadam rekod berkenaan selepas ini.
Jika SPFC berjaya mengatasi JDT, ia bukan sahaja menjadi kejutan besar, malah turut menamatkan penantian 11 tahun untuk Tok Gajah kembali menjulang trofi Piala Malaysia.
https://assets.bharian.com.my/images/articles/phgvsjdt_1745629219.jpg

Kali terakhir Tok Gajah menjulang trofi Piala Malaysia pada 2014 selepas berjaya menewaskan JDT menerusi penentuan penalti dan kali terakhir mereka merasai nikmat kejuaraan adalah pada 2018 ketika memenangi Piala FA.
Malah, sekiranya memenangi aksi final kali ini, skuad kendalian Fandi Ahmad juga akan menjadi kelab Malaysia pertama berjaya mencalar rekod cemerlang Harimau Selatan yang sudah hampir empat tahun tidak tewas.
Kuala Lumpur (KL) City menjadi pasukan tempatan terakhir yang mengalahkan JDT selepas mencipta kemenangan mengejut 2-0 di pentas akhir Piala Malaysia pada 2021.
Atas kertas, majoriti pemerhati dan peminat bola sepak tempatan melihat SPFC seakan tiada peluang untuk mencipta kejutan terutama jika mengambil kira kualiti skuad dan prestasi semasa kedua-dua pasukan itu.
Berdasarkan rekod pertemuan juga, sudah tujuh tahun Tok Gajah tidak pernah mengalahkan JDT dengan kali terakhir mereka mengatasi Harimau Selatan adalah ketika meraih kemenangan 3-0 dalam suku akhir kedua Piala FA pada 2018.
Namun, perkara sama yang pernah terjadi kepada KL City empat tahun lalu sehinggalah magis bekas Bojan Hodak membantu skuad City Boys melakar kejutan besar ke atas Harimau Selatan.
Ketika ini, giliran Fandi pula terpaksa menempuh ujian getir dengan peminat tetap mengharapkan taktikal ampuh dapat dilakukannya meskipun sedar Tok Gajah akan tampil dengan skuad tempang tanpa Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo.
Fandi akan berperang taktikal dengan Bidoglio yang mana jika melihat kepada kualiti skuad yang dimiliki JDT, pengendali dari Argentina itu jelas lebih bertuah berbanding Fandi.
Selain itu, JDT juga sudah pasti tidak mahu pesta mereka mendominasi Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025, kelmarin dirosakkan dengan kekalahan dalam aksi kemuncak musim ini di Stadium Nasional.
Beberapa tonggak JDT akan turun dengan 'mood' terbaik terutama bintang sensasi mereka, Arif Aiman Hanapi yang mencipta sejarah mempertahankan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) kali keempat berturut-turut selain Bergson Da Silva merangkul anugerah Kasut Emas Liga Super dan melakar hatrik gelaran Pemain Import Terbaik.
Dua jentera serangan JDT itu akan menjadi senjata utama Harimau Selatan menerkam Tok Gajah dan merealisasikan impian mereka untuk sekali lagi menyapu bersih semua trofi saingan domestik.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/04/1388915/debaran-malam-penentuan




Pages: [1]
View full version: Debaran malam penentuan


ADVERTISEMENT