Azlan mahu terus cabar pelumba muda Asia
Azlan mahu terus cabar pelumba muda AsiaOleh Sukhairi Thani - April 24, 2025 @ 5:49pm [email protected]
https://assets.bharian.com.my/images/articles/azlan244_1745488170.jpg
Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman. - Foto FB Azlan Shah Kamaruzaman
KUALA LUMPUR: Usia bukan menjadi penghalang buat pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman untuk terus 'mencabar' pentas Asia yang rata-ratanya dibarisi barisan pelumba lebih muda daripadanya.
Azlan yang akan berusia 41 tahun pada Oktober ini bakal mengepalai cabaran pasukan A1 Energy BMW Racing Team di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dijadual membuka tirai kempen 2025 di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand, hujung minggu ini.
Bersamanya menggalas cabaran dalam kelas perdana ASB1000 adalah pelumba Thailand yang juga penyandang juara kelas Supersports 600, Apiwath Wongthananon, 31, dan bagi Azlan, untuk musim baharu ini dia mengharapkan keputusan lebih baik berbanding sebelumnya.
"Musim lalu kami agak bergelut dan ia menjejaskan saya terutama daripada sudut mentaliti dan saya tidak berupaya untuk berada di dalam situasi terbaik di setiap perlumbaan.
"Untuk tahun ini, sedikit lega dan saya gembira mengenai pasukan ini dan juga jentera terkini yang digunakan. Ia juga termasuk sokongan padu dari pengeluar BMW dan Alpha Racing. Tentunya ini memberikan saya satu suntikan semangat untuk setiap perlumbaan nanti.
"Saya hanya berharap untuk mencapai keputusan lebih baik dan memberikan cabaran sepenuhnya kepada pelumba muda," kata Azlan yang juga juara sulung dalam kelas perdana berkenaan pada 2019.
Pada edisi musim lalu, Azlan yang dikenali dengan julukan 'The Pirate' hanya meraih satu kemenangan di Perlumbaan 1 Pusingan 1 di Thailand dan menamatkan kempen di kedudukan kelima dalam carta pelumba dengan 126 mata.
Pelumba SDG Team HARC-PRO Honda PH dari Jepun, Yuki Kunii muncul juara keseluruhan dengan 183 mata diikuti Andi Farid Izdihar (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) di kedudukan kedua dengan 181 mata.
Melengkapkan podium keseluruhan adalah pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah yang mengumpul 154 mata.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/04/1388448/azlan-mahu-terus-cabar-pelumba-muda-asia
Pages:
[1]