Hannah mahu krisis tunggakan gaji pemain bola sepak diatasi
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta badan induk bola sepak negara merombak ekosistem sukan berkenaan, dengan tumpuan diberikan kepada menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain-pemain.
Hannah menegaskan, masalah bola sepak Malaysia memerlukan penyelesaian komprehensif berbanding penyelesaian jangka pendek.
"Isu dalam bola sepak negara perlu diselesaikan dengan segera dan tindakan drastik perlu diambil. Sudah tiba masanya kita melihat gambaran yang lebih besar dan berganding bahu untuk membina semula persekitaran bola sepak yang lebih sihat dan mampan," kata Hannah.
Hannah turut memaklumkan bahawa pihaknya mendapatkan khidmat pakar luar bagi menangani kemelut yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
"Saya sudah meminta Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menjalankan penilaian. Mereka sudah menyerahkan laporan kepada saya dan kita akan membincangkannya bersama FAM. Kita tidak boleh hanya fokus kepada satu kes sahaja.
"Kita perlu melihat isu ini secara menyeluruh. Dalam pertemuan akan datang, kita akan berbincang dengan FAM mengenai penambahbaikan ekosistem semasa, bukan hanya di peringkat kebangsaan, malah turut membabitkan kelab-kelab," katanya.
FAM bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap panggilan telefon ketika dihubungi Reuters bagi mendapatkan komen.
Kenyataan Hannah itu hadir ketika rungutan dalam kalangan pemain semakin memuncak, termasuk pengendali sementara pasukan Kelantan United, Rezal Zambery Yahya, yang merayu pihak pengurusan kelab menyelesaikan tunggakan gaji yang dilaporkan mencecah enam bulan.
"Kami tidak pernah memalukan pasukan walaupun bergelut dengan pelbagai isu di luar padang. Kami tetap komited dan bersikap profesional.
"Sudah tiba masanya pihak pengurusan bersikap lebih telus dan serius dalam menyelesaikan masalah ini," kata Rezal.
Kelantan menamatkan saingan Liga Super di tangga tercorot daripada 13 pasukan dengan hanya tujuh mata, selepas musim berakhir pada Isnin lalu.
Krisis itu turut menjejaskan pemain import, termasuk penyerang Kedah dari Serbia, Milos Gordic, yang memaklumkan kepada media bahawa beliau akan pulang ke negara asal tanpa sebarang bayaran selepas sembilan bulan tidak menerima gaji. - BERNAMA
Pages:
[1]