Faith sasar bawah empat minit acara sebatu
Faith sasar bawah empat minit acara sebatuAFP
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/NIKE-RUNNING__1745465840.jpg
FAITH ketika menang emas di Sukan Olimpik Paris. FOTO Reuters
Nairobi: Ratu 1,500 meter (m) Kenya, Faith Kipyegon kini menetapkan sasaran baharu untuk menjadi atlet wanita pertama berlari acara satu batu di bawah empat minit, menurutnya semalam.
Juara Olimpik dan dunia tiga kali itu mencipta sejarah di Sukan Olimpik Paris tahun lalu apabila menjadi wanita pertama memenangi tiga pingat emas Olimpik berturut-turut dalam acara 1500m dengan catatan rekod Olimpik baharu iaitu 3 minit 51.29 saat.
Roger Bannister dari Britain muncul lelaki pertama berjaya berlari satu batu di bawah empat minit pada Mei 1954 manakala rekod semasa dipegang Hicham El Guerrouj dari Maghribi, dengan catatan 3 minit 43.13 saat yang dilakukan pada 1999.
Faith kini memegang rekod dunia rasmi wanita untuk acara satu batu dengan catatan 4 minit 7.64 saat yang dicatat pada 2023.
Atlet berusia 31 tahun dari Kenya itu perlu mencatas tujuh saat daripada masa tersebut dan menetapkan tarikh percubaan pada 26 Jun di Perancis.
"Saya tak rasa persoalannya sama ada wanita boleh atau tidak pecah rekod empat minit itu. Soalnya adalah bila kita akan lakukannya," tulisnya di Instagram.
"Saya sudah tiga kali menjadi juara Olimpik dan gelaran dunia. Saya fikir, apa lagi yang boleh saya kejar, kenapa tidak impi di luar kebiasaan?" kata Faith.
"Saya mahu usaha ini memberi mesej kepada semua wanita, anda boleh bermimpi dan menjadikan impian itu satu kenyataan."
Dia turut menjemput pengikutnya untuk bersama menyaksikan larian yang dianggap mustahil itu pada Jun di Stade Charlety, ibu kota Perancis, Paris.
Disiarkan pada: April 24, 2025 @ 11:37am
https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2025/04/1211169/faith-sasar-bawah-empat-minit-acara-sebatu
Pages:
[1]