Khairul Idham suntik semangat Helmi di ARRC
Edited by sfhzuraz at 24-4-2025 09:54 AMKhairul Idham suntik semangat Helmi di ARRC
Oleh Khairil S Iswan - April 23, 2025 @ 8:48pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2025-04-23_at_18.25.38_%281%29_1745412600.jpg
Md Helmi Azman. - Foto ARRC
KUALA LUMPUR: Kepulangan semula bekas pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi ke kancah Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada musim ini menyuntik moral seorang lagi jaguh negara, Md Helmi Azman untuk meraih kejayaan lebih gemilang.
Bakal bergandingan bersama pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia, Helmi yang memasuki tahun keempat dalam kelas SuperSports 600 (SS600) tiba dengan sasaran tinggi musim ini iaitu merangkul juara keseluruhan selepas sekadar menamatkan musim lalu di tangga keempat.
Sedar dengan kemampuan dimiliki Khairul Idham yang lebih dikenali sebagai Super KIP, Helmi begitupun menyifatkan situasi itu sebagai positif menjelang saingan pembukaan kejuaraan itu di Litar Buriram, Thailand, hujung minggu ini.
"Saya gembira kerana KIP kembali menyertai saingan ARRC. Kami pernah menjadi rakan sepasukan pada dua musim lalu dan keputusan yang diperoleh amat memberangsangkan," kata Helmi.
"Benar yang ia akan menjadi persaingan sesama sendiri daripada kami tetapi ini juga adalah ruang untuk kami menguji keupayaan dan saling mencabar untuk jadi lebih baik."
Selain Helmi dan Super KIP, pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia turut membariskan seorang lagi pelumba negara, Syarifuddin Azman atau Damok dalam kelas yang sama.
"Saya percaya musim ini akan lebih mencabar dengan senarai pelumba yang sangat menarik, bukan saja membabitkan pelumba negara, tetapi dari Thailand dan Indonesia juga.
"Tetapi kami sudah bersedia menghadapi segala cabaran yang akan dihadapi," kata Helmi.
Mengulas lanjut mengenai sasaran musim ini, Helmi mengakui konsisten berada di podium pada setiap perlumbaan saja tidak mencukupi untuk membawa pulang gelaran berkenaan.
"Ini tahun keempat saya di sini jadi sudah tentu saya ingin menjulang kejuaraan. Jika melihat kepada keputusan pada tahun lalu, kami memang mampu berada di kelompok teratas, tetapi ada perlumbaan saya tidak menang atau gagal menamatkan perlumbaan.
"Podium saja tidak mencukupi untuk menjuarai gelaran dengan konsistensi juga akan menjadi kunci utama," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/04/1388136/khairul-idham-suntik-semangat-helmi-di-arrc
Pages:
[1]