Afif tawan Litar Sepang
Afif tawan Litar SepangOleh Khairil S Iswan - April 20, 2025 @ 7:09pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2025-04-20_at_18.15.19_1745147330.jpg
Aksi Afif pada pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2025, hari ini. Foto Cub Prix
KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ-Racing, Ahmad Afif Amran memulakan kempen Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2025 dengan langkah kanan apabila menjuarai pusingan pembuka tirai kelas elit CP150 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (Utara), hari ini.
Afif yang memulakan saingan dari petak ketujuh, tampil cemerlang apabila menggunakan segala pengalamannya untuk bersaing di kelompok depan pada dua pusingan terakhir sebelum mengesahkan kemenangan dramatik yang turut mengulangi kejayaannya musim lalu di litar sama.
Mengulas kejayaan di Sepang, pelumba berusia 30 tahun itu mengakui ia amat bermakna buat pasukannya yang sudah bekerja keras bagi persediaan menghadapi musim baharu.
"Ini adalah permulaan yang baik buat kami. Pasukan bekerja keras tanpa henti, malah sejak bulan puasa hingga ke Aidilfitri saya rasa mereka masih belum berehat demi menyiapkan jentera terbaik untuk perlumbaan ini," kata Afif.
"Perlumbaan sangat sengit dan secara jujur, saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk naik podium kerana di Sepang, sesiapa sahaja boleh menang. Jadi kemenangan ini amat bermakna dan berbaloi dengan segala usaha kami," kata Afif yang juga naib juara keseluruhan CP150 musim lalu.
Turut mencuri tumpuan hari ini adalah pelumba rookie CP150 musim ini, Danial Syahmi Syahril dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang menamatkan perlumbaan sebagai naib juara.
Selapas meraih petak utama pada sesi kelayakan, bekas pelumba di kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup itu tampil dengan prestasi mengagumkan dengan keputusan perlu ditentukan menerusi 'photo finish'.
Juara keseluruhan CP150 musim lalu, Md Akid Aziz yang juga rakan sepasukan Afif melengkapkan kedudukan podium sekali pun pada satu ketika ketinggalan jauh di kelompok belakang.
Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ-Racing dalam pada itu turut meraih kemenangan berganda apabila pelumbanya, Md Izam Ikmal Izamli muncul juara dalam perlumbaan kategori CP125.
Yamaha turut menguasai podium CP125 apabila MD Haziq Md Hamdan (PETRONAS Sprinta 31 Racing) meraih tempat kedua, manakala Md Adie Putra Sukarno (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) melengkapkan kedudukan tiga terbaik.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/04/1386929/afif-tawan-litar-sepang
Pages:
[1]