sfhzuraz Publish time 19-4-2025 06:33 PM

Ferrari diminta bertenang

Ferrari diminta bertenang

Reuters



https://assets.hmetro.com.my/images/articles/MOTOR-F1-SAUDI__1745057337.jpg
VASSEUR turut menekankan kepentingan analisis yang tenang dan tepat kerana persaingan dalam F1 musim ini. FOTO Reuters


Jeddah: Bos pasukan Ferrari, Fred Vasseur menggesa seluruh skuad Scuderia agar kekal tenang dan terus berpegang kepada 'resipi kejayaan' biarpun permulaan musim Formula Satu (F1) 2025 agak perlahan.
Gergasi Itali itu yang kali terakhir muncul juara dunia pada 2008, masih belum meraih sebarang podium selepas empat perlumbaan setakat ini menerusi Charles Leclerc dan pendatang baharu, juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton.
Namun, aksi Grand Prix (GP) Bahrain minggu lalu yang dimenangi pelumba McLaren, Oscar Piastri, dianggap pencapaian terbaik mereka musim ini apabila Leclerc menamatkan saingan di tempat keempat dan Hamilton kelima.
Sebelum itu di China, Hamilton menjuarai perlumbaan pecut tetapi kedua-duanya – termasuk Leclerc – dibatalkan daripada perlumbaan utama kerana isu teknikal.
Di Jepun, Leclerc keempat manakala Hamilton ketujuh.
Di pusingan pembukaan di Australia, mereka sekadar menamatkan saingan di tangga kelapan dan ke-10.
"Segala ramuan kejayaan sudah ada. Sekarang ia ibarat memasak – kita hanya perlu satukan bahan pada masa yang tepat," kata Vasseur menjelang GP Arab Saudi di Jeddah, hujung minggu ini.
"Secara jujur, saya rasa kami belum benar-benar mengeluarkan potensi penuh jentera kami setakat ini, atau mungkin hanya dalam beberapa sesi tertentu.
"Tapi itu bukan hanya kami. McLaren pun kadang-kadang salah satu kereta mereka bergelut. Persaingan sekarang sangat sengit."
Vasseur turut menekankan kepentingan analisis yang tenang dan tepat kerana persaingan dalam F1 musim ini menyaksikan sekurang-kurangnya empat pasukan berupaya menang setiap minggu — dan kesilapan kecil ketika kelayakan boleh memberi kesan besar.
"Kita perlu fokus kepada prestasi tulen. Salah satu kekuatan kami tahun lalu ialah kebolehan untuk manfaatkan perbezaan beberapa ratus saat sahaja. Saya harap kita mampu ulang kejayaan itu tahun ini," katanya lagi.
Ferrari yang muncul naib juara di belakang McLaren musim lalu, kali terakhir memenangi gelaran pemandu menerusi Kimi Raikkonen pada 2007, dan gelaran pengeluar pada 2008.
Setakat ini, McLaren telah memenangi tiga daripada empat perlumbaan musim ini termasuk tiga petak utama dan tiga pusingan terpantas.
Lando Norris kini mendahului kejuaraan dengan kelebihan tiga mata berbanding Piastri.
Leclerc kini di tangga kelima keseluruhan dengan 32 mata manakala Hamilton di tempat ketujuh dengan 25 mata.
"Kami masih ketinggalan dua hingga tiga persepuluh saat berbanding McLaren. Mercedes pun lebih kurang sama, mungkin sedikit di depan kami," kata Leclerc.


Disiarkan pada: April 19, 2025 @ 6:09pm
https://www.hmetro.com.my/arena/permotoran/2025/04/1209472/ferrari-diminta-bertenang



Pages: [1]
View full version: Ferrari diminta bertenang


ADVERTISEMENT