Shah Firdaus, Nurul Izzah sandaran pingat di Sukan Asia 2026
Shah Firdaus, Nurul Izzah sandaran pingat di Sukan Asia 2026Oleh Sukhairi Thani - April 18, 2025 @ 3:[email protected]
https://assets.bharian.com.my/images/articles/Izzah-Fir_1744960144.jpg
Shah Firdaus(kanan) dan Nurul Izzah .
KUALA LUMPUR: Sasaran awal untuk memenangi pingat di temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bagi kem sukan berbasikal trek kini terletak di bahu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh seakan memberi bayangan temasya di Jepun nanti bakal tanpa pemenang perak acara keirin di Rio 2016 dan Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang.
Semalam, Amarjit ketika ditemui dalam satu majlis, hanya menyenaraikan nama Shah Firdaus dan Nurul Izzah sebagai sandaran utama di Aichi-Nagoya sekali gus memberi bayangan yang Azizulhasni berkemungkinan tidak lagi bersama skuad kebangsaan di masa akan datang.
"Sandaran utama sudah tentunya untuk trek, Shah Firdaus dan Izzah," kata Amarjit secara ringkas selain menyatakan pemilihan atlet akan dilakukan bagi acara lebuh raya nanti.
"Untuk lebuh raya, kita akan buat pemilihan namun fokus utama adalah untuk acara trek."
Pada edisi lalu di Hangzhou 2022, kem berbasikal trek negara meraih empat gangsa masing-masing dalam acara perseorangan dan berpasukan.
Shah Firdaus meraih gangsa dalam acara pecut individu dan keirin manakala trio pecut berpasukan lelaki Umar Hasbullah, Muhammad Ridwan Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis turut membawa pulang gangsa.
Trio wanita diketuai Nurul Aliana Syafika Azizan, Izzah dan Anis Amira Rosidi meraih gangsa dalam acara pecut berpasukan.
Semalam, Amarjit memaklumkan satu sidang media dijadual berlangsung esok bersama pihak PKBM, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Azizulhasni sendiri selepas arena sukan tanah air dibiarkan berteka-teki mengenai masa hadapan jaguh keirin itu sejak 'berputih mata' di Sukan Olimpik Paris 2024.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2025/04/1386147/shah-firdaus-nurul-izzah-sandaran-pingat-di-sukan-asia-2026
Pages:
[1]