sfhzuraz Publish time 17-4-2025 07:51 PM

Anita Azrina wanita pertama terajui SIC

Anita Azrina wanita pertama terajui SIC

Oleh Sukhairi Thani - April 17, 2025 @ 3:51pm



https://assets.bharian.com.my/images/articles/nitet_1744876918.jpg
Anita Azrina dilantik Pengerusi SIC menggantikan Azman.


KUALA LUMPUR: Datin Anita Azrina Abdul Aziz mencipta sejarah apabila dilantik sebagai wanita pertama menerajui Litar Antarabangsa Sepang (SIC), menggantikan Tan Sri Azman Yahya yang melepaskan jawatan disandangnya itu sejak 15 tahun lalu.
Anita bukanlah nama asing dalam dunia sukan permotoran, malah cukup sinonim sebagai antara tokoh utama di sebalik penajaan pasukan Formula Satu (F1) Mercedes AMG oleh PETRONAS.
Beliau juga pernah memegang jawatan penting dalam beberapa entiti di bawah PETRONAS termasuk Petrosains, Dewan Filharmonik PETRONAS dan terbaru Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), selain menganggotai lembaga pengarah di Yayasan PETRONAS dan PETRONAS Lubricants International.
"Ini satu penghormatan besar untuk memikul tanggungjawab ini dalam tempoh yang amat signifikan. Saya berterima kasih kepada Tan Sri Azman atas kepimpinan beliau yang luar biasa dan berharap dapat meneruskan serta memperkukuh asas kukuh yang dibina," kata Anita dalam satu kenyataan dikeluarkan SIC.
Pelantikan Anita Azrina disambut baik Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyifatkan pengalaman luas beliau termasuk kejayaan mengurus penajaan PETRONAS dalam F1 sebagai aset besar buat SIC.
"Tan Sri Azman telah mengangkat SIC menjadi destinasi permotoran bertaraf dunia dan legasi beliau akan terus memberi inspirasi.
"Kami amat mengalu-alukan Datin Anita Azrina yang berpengalaman luas dalam bidang permotoran dan strategi penjenamaan untuk menerajui SIC ke fasa baharu sebagai hab inovasi dan bandar sukan permotoran," kata Hannah.
Di bawah pimpinan Azman, SIC mencapai pelbagai kejayaan termasuk sambungan kontrak MotoGP yang menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah paling lama di Asia dengan rekod 34 tahun.
Selain itu, beliau berjaya membangunkan infrastruktur seperti 'Driving Experience Centre' dan sistem lampu litar malam serta memperoleh pajakan tanah 97 tahun sebagai asas pembentukan bandar permotoran masa depan.
Beliau juga menubuhkan pasukan PETRONAS Sepang Racing Team (PSRT), yang meraih kejayaan dalam MotoGP, serta melahirkan pelumba berbakat seperti Hafizh Syahrin, Hakim Danish dan Qabil Irfan.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/04/1385706/anita-azrina-wanita-pertama-terajui-sic




Pages: [1]
View full version: Anita Azrina wanita pertama terajui SIC


ADVERTISEMENT