e-sukan tarik minat remaja dekati masjid
e-sukan tarik minat remaja dekati masjidOleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri - April 17, 2025 @ 10:00am
https://assets.bharian.com.my/images/articles/sukan_1744855203.jpg
Suasana sekitar pertandingan e-sukan dianjurkan Masjid Raja Nazrin Shah, Kampung Rapat Jaya Tambahan, Ipoh. - Foto ihsan pembaca
IPOH: Pertandingan e-sukan atau sukan elektronik anjuran Masjid Raja Nazrin Shah, Kampung Rapat Jaya Tambahan, di sini secara berkala berjaya menarik minat anak muda supaya dekat dengan masjid.
Pembabitan ramai anak muda itu sekali gus memudahkan pihak masjid mencari sukarelawan bagi penganjuran pelbagai aktiviti.
Pengerusi Masjid Raja Nazrin Shah, Kampung Rapat Jaya Tambahan, Mat Razali Abdul Rahman, 56, berkata program e-sukan berjaya menarik minat anak muda beragama Islam dan juga berbilang bangsa dan agama lain, secara tidak langsung menjadi medium dakwah mengenai keterbukaan Islam.
Katanya, bagi tahun 2025 beberapa penambahbaikan dalam penganjuran program pertandingan sebegitu dirancang, antaranya dengan mewujudkan rangkaian antara masjid itu bersama sekolah sebagai peserta program, bagi kaedah menjaga kebajikan ahli kariah masjid itu.
"Melalui beberapa program e-sukan anjuran pihak masjid yang lalu, antara kebaikan yang saya nampak ialah kita ada rangkaian dengan sekolah-sekolah. Jadi dari situ kita boleh buat 'survey' seperti mengenai kehadiran pelajar ke sekolah dan prestasi pelajaran mereka.
https://assets.bharian.com.my/images/articles/perak_1744856543.jpg
"Ia juga membantu pihak masjid mengenal pasti latar belakang keluarga mereka, sama ada asnaf yang harus dibantu pihak masjid seperti dari segi yuran sekolah, pakaian dan sebagainya," katanya kepada BH.
Beliau berkata, selepas pertandingan e-sukan pada 17 Disember 2023 dengan kolaborasi bersama sebuah pusat siber, masjid berkenaan dipilih antara dua masjid di daerah Kinta yang menerima tajaan dari Jabatan Belia dan Sukan (JBS) bagi mengendalikan pertandingan e-sukan.
Menurutnya, biro belia masjid telah pun membuat beberapa penambahbaikan bagi pertandingan e-sukan untuk tahun 2025 yang bakal diadakan kelak. Ia termasuk penambaikan bumbung pada dewan terbuka lokasi penganjuran program itu dengan membabitkan kos RM68,000.
"Selepas program pada Disember 2023, masjid kami terpilih untuk ditaja JBS bagi menganjurkan lagi program (pertandingan) e-sukan pada September 2024. Bilangan peserta ketika itu lebih kurang 230 orang terdiri daripada berbilang bangsa" katanya.
Bentuk semangat muhibah
Menurut Mat Razali, penyertaan masyarakat berbilang agama dalam program kendalian masjid itu berupaya membentuk semangat muhibah dan penyatuan antara pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, masjid bukan sekadar sebagai pusat ibadat, pendidikan dan ekonomi tetapi seharusnya diperkayakan dengan aktiviti sosial masyarakat terutama yang berupaya menarik minat anak muda termasuk melalui pertandingan e-sukan.
Beliau berkata, ia sejajar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 12 Januari 2024 yang menyeru masyarakat, khususnya ibu bapa melihat secara positif sukan elektronik yang kini menjadi ikutan bagi membantu meningkatkan pemikiran strategik serta kritikal.
Pembangunan Modal Insan & Belia diletakkan sebagai satu daripada lima keperluan rakyat, menerusi pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Meteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Pelan sama turut meletakkan Akademi e-Sukan sebagai antara agenda yang ingin dicapai menerusi flagship Ekonomi Digital Negeri Perak dengan JBS serta Majlis Sukan Negeri diletakkan sebagai antara agensi penerajunya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/04/1385449/e-sukan-tarik-minat-remaja-dekati-masjid
Pages:
[1]