Penjawat awam perlu kuasai AI, tingkat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat
Penjawat awam perlu kuasai AI, tingkat penyampaian perkhidmatan kepada rakyatOleh Nur Izzati Mohamad - April 17, 2025 @ 3:17pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/jawat_1744874263.jpg
Wan Ahmad Dahlan (tengah) hadir pada program Bicara Aspirasi HEMAT Zon Utara: Aspirasi Menuju Reformasi di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth. NSTP/DANIAL SAAD
BUTTERWORTH: Penjawat awam di negara ini disaran menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) supaya tidak ketinggalan dengan kakitangan kerajaan dari negara luar.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata pihaknya baru-baru ini menghantar beberapa pegawai mengikuti kursus AI di India dan China selama enam bulan menerusi program 'Training of Trainers' (ToT).
Katanya, semua pegawai itu perlu menyiapkan kertas projek dan apabila pulang ke tanah air nanti menjadi pelatih kepada penjawat awam lain.
"Kita penjawat awam tidak boleh lari daripada teknologi baharu yang sedang berkembang terutama teknologi digital dan AI.
"Pada masa sama, penjawat awam juga tidak boleh ketinggalan (mempelajari teknologi) kerana ia sangat dituntut dalam menyampaikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
"Jadi, kita menghantar beberapa pegawai menjalani kursus di luar negara untuk meningkatkan penguasaan terhadap teknologi ini yang apabila mereka balik nanti (ilmu) itu boleh membantu penjawat awam lain," katanya selepas Program Bicara Aspirasi HEMAT Zon Utara di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, di sini, hari ini.
Program di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara itu turut menyaksikan Wan Ahmad Dahlan melancarkan buku 'H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi' yang boleh dijadikan panduan penjawat awam menyampaikan perkhidmatan berkualiti.
Wan Ahmad Dahlan berkata, penguasaan teknologi perlu memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi cabaran kepada penjawat awam supaya menjadi yang terbaik dari segi penyampaian perkhidmatan di Asia Tenggara termasuk Asia.
"Kalau dulu kita antara yang terbaik di Asia Tenggara, tetapi (sebab) kita sudah mula berasa selesa dengan apa yang kita ada (maka kedudukan itu sudah tiada).
"Sekarang, Perdana Menteri melontarkan cabaran supaya kita menjadi yang terbaik di Asia Tenggara dan antara yang terbaik di Asia, mungkin kita tidak kurang hebat berbanding Singapura tetapi Singapura cabarannya berbeza dengan kita.
"Namun saya percaya jika penjawat awam memudahkan (cara penyampaian kerja) menyesuaikan (teknologi semasa) dan menyegerakan perkhidmatan, kita tidak akan kalah dengan Singapura," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/04/1385682/penjawat-awam-perlu-kuasai-ai-tingkat-penyampaian-perkhidmatan
Pages:
[1]