Akid enggan dabik dada
Akid enggan dabik dadaOleh Khairil S Iswan - April 16, 2025 @ 10:11pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2025-04-16_at_20.49.58_1744812693.jpg
Akid tampil sebagai juara dua kali berturut-turut menjelang Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2025 yang bermula hujung minggu ini. Foto Cub Prix.
KUALA LUMPUR: Penyandang juara kelas perdana CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Mohd Akid Aziz mengakui masih banyak perkara perlu dipertingkatkan menjelang musim baharu yang bakal membuka tirai hujung minggu ini.
Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing itu menampilkan aksi cemerlang pada musim lalu apabila mengesahkan gelaran juara lebih awal sebelum pusingan terakhir di Pulau Pinang.
Kembali sebagai juara dua kali berturut-turut, pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu menjelaskan status itu bukan tiket mendabik dada, sebaliknya bertekad menjadikan pengalaman itu untuk menjadi lebih baik terutama dari sudut konsistensi dan pengurusan masa.
"Pada musim lalu, ada ketika saya terlalu fokus kepada satu aspek sehingga mengabaikan perkara lain, dan itu menjadikan saya kurang efisen," kata Akid.
"Jadi, keseimbangan amat penting, sama ada dari segi fizikal, mental mahupun strategi."
Akid berkata, dia juga sedang berusaha memperbaiki kawalan emosi dan membuat keputusan lebih tepat ketika berdepan tekanan.
"Objektif utama saya untuk musim ini adalah mempertingkatkan prestasi secara konsisten, tidak kira dari aspek teknik, taktikal dan mental," kata Akid yang meraih tujuh kemenangan sepanjang musim lalu.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/04/1385373/akid-enggan-dabik-dada
Pages:
[1]