Tolonglah bayar gaji saya - Faizal
KUALA LUMPUR: Pemain sayap Kelab Bolasepak Kelantan Darul Naim (KDN), Faizal Talib merayu kelab itu supaya melunaskan tunggakan gajinya.
Bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC itu mendakwa tunggakan gajinya membabitkan lima bulan dari November lalu hingga Mac tahun ini.
Faizal menjelaskan dia juga sudah membuat aduan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini, namun belum ada perkembangan terkini.
"Saya dipinjamkan ke Melaka FC dari Oktober hingga Februari lalu. Kalau ikutkan sepanjang tempoh itu, Melaka bayar elaun dan KDN bayar gaji pokok saya.
"Saya difahamkan sebelum ini ada pemain KDN yang terima gaji dua bulan, tapi saya hanya dapat sebulan sahaja bayaran untuk Oktober. Maknanya gaji saya masih tertunggak dari November hingga Mac.
"Sekarang ini saya cuma nak tunggakan gaji saya diselesaikan dan saya pun sebenarnya tak mahu besarkan perkara ini. Tolonglah bayar gaji pemain, itu hak kami," kata Faizal sambil menjelaskan kontraknya dengan KDN akan berakhir bulan ini.
Selain itu, Faizal mengakui bingung untuk mendapatkan haknya itu di saat dia amat memerlukan wang bagi menampung keluarga apatah lagi bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.
Justeru, pemain kehiran Negeri Sembilan berusia 28 tahun itu menjelaskan dia terpaksa melakukan beberapa kerja sejak Ramadan lalu bagi mendapatkan sumber pendapatan.
"Pada Ramadan hari itu saya habis kontrak dengan Melaka dan saya berniaga bazar dengan kawan sebab nak cari makan (pendapatan). Apa sahaja kerja saya buat.
"Kadang-kadang pagi masuk pasar kerja dengan kawan, petang meniaga dekat bazar dan malam sambung di tapak ekspo. Sekarang ini saya nak kerja dengan kawan di pasar pagi dan pasar malam.
"Tahun ini memang perit, dengan isteri tengah mengandung anak kedua dan sudah nak masuk tujuh bulan, anak pertama usia setahun lapan bulan. Sebab itu saya sanggup buat apa saja kerja asalkan keluarga dapat makan.
"Aidilfitri tahun ini pun saya tak dapat bagi apa-apa dekat emak dan ayah. Ia kali pertama saya terpaksa lalui situasi ini dan sebagai anak lelaki, saya berasa amat sedih," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar KDN FC, Afiq Manaf ketika dihubungi BH Sukan meminta semua pemain bersabar dan pihak kelab sedang berusaha keras untuk mendapatkan dana dari penaja bagi membayar gaji pemain.
"Pembayaran yang kita buat tempoh hari memang ada pemain dapat dua bulan gaji dan ada yang dapat sebulan sebab duit yang kita terima tidak cukup.
"Bagilah kelab dan presiden untuk usaha dapatkan duit tajaan dari penaja. Kita juga ada perkara yang perlu dibayar kepada pihak ketiga termasuk pihak stadium.
"Kita bayar sebab memang tanggungjawab kita, jadi kalau ada duit, Insya-Allah bulan ini akan ada lagi pembayaran kepada pemain," kata Afiq. - BH Online
Pages:
[1]