sfhzuraz Publish time 16-4-2025 04:51 PM

Peniaga didenda RM8,500 cuai biarkan anjing cederakan lima penduduk

Peniaga didenda RM8,500 cuai biarkan anjing cederakan lima penduduk

Noorazura Abdul [email protected]




https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm349didenda_1744785032.jpg
CHONG Sheng Chong dituduh di Mahkamah Majistret Baling kerana cuai membiarkan anjing peliharaannya menyerang lima mangsa. FOTO Noorazura Abdul Rahman


Baling: Peniaga didenda RM8,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas didapati bersalah apabila secara cuai membiarkan anjing jenis Rottweiler peliharaannya mencederakan lima mangsa, awal bulan ini.
Majistret Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Chong Sheng Chong, 69, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadapnya.
Tertuduh dikenakan denda RM1,700 bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, Sheng Chong mengaku bersalah atas kesalahan membiarkan anjingnya secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan kepada Khadijah Abdullah, 66.
Kesalahan didakwa berlaku di Susur Bidara 4, Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, di sini, kira-kira jam 4.45 pagi pada 1 April lalu.
Sheng Chong kemudiannya mengaku bersalah atas pertuduhan membiarkan anjingnya mencederakan Goh Bing Hak, 74, kira-kira jam 7 pagi pada hari yang sama.
Kesalahan itu dilakukan di medan selera Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, di sini.
Tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan membiarkan anjingnya secara cuai mencederakan Shaik Peer Mohamed Mydin, 51, dan Asyida Nizam Ahmad, 50.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Susur Bidara 6, Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, di sini, kira-kira jam 6.40 pagi hari yang sama.
Tertuduh turut mengaku bersalah kerana membiarkan anjingnya mencederakan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Ahmed Abdeltawwad Moustafa, 28.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Lorong 17, Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, di sini, kira-kira jam 6 pagi hari yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Amirul Halimi Md Salleh memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh kerana anjing terbabit pernah menyerang seorang lelaki pada 2023.
Peguam tertuduh, Alvin Kua Tze Min merayu agar mahkamah memberi hukuman ringan berikutan anak guamnya mempunyai masalah kemurungan dan komplikasi jantung yang memerlukan rawatan berpanjangan selain menyesal atas perbuatannya.
Tze Min turut memberitahu mahkamah bahawa dua ekor anjing itu sudah dilupuskan dan anak guamnya berjanji tidak akan membela anjing lagi.
Najwa dalam pada itu turut mempersoalkan tertuduh sama ada mempunyai lesen membela anjing 'ganas' berkenaan dan kenapa membiarkan haiwan terbabit tanpa diikat.
"Saya tidak dapat membayangkan kesakitan dialami oleh mangsa-mangsa," katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,700 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.
Dalam kejadian 1 April lalu, anjing-anjing Rottweiler milik Sheng Chong mencederakan lima jiran di Taman Desa Bidara dalam empat serangan berasingan.
Kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.


Disiarkan pada: April 16, 2025 @ 2:31pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/04/1208301/peniaga-didenda-rm8500-cuai-biarkan-anjing-cederakan-lima-penduduk



Pages: [1]
View full version: Peniaga didenda RM8,500 cuai biarkan anjing cederakan lima penduduk


ADVERTISEMENT