Persiapan logistik LIMA '25 semakin rancak
Persiapan logistik LIMA '25 semakin rancakHamzah [email protected]
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/limaprann1_1744694874.jpg
MANSOR (kanan sekali) mempengerusikan Mesyuarat Gotong-Royong LIMA '25 di Pejabat Tanah dan Daearah Langkawi. FOTO Facebook
Langkawi: Persiapan logistik penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25) edisi ke-17 mulai 20 hingga 24 Mei ini, semakin rancak dilaksanakan ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, kerajaan negeri menerusi Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi (PDTL) dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) juga bakal menganjurkan gotong-royong mega dalam tempoh terdekat.
Katanya, gotong-royong berskala besar itu membabitkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, swasta serta komuniti setempat.
"Langkawi sudah mula bersiap untuk LIMA '25 daripada sekarang dengan satu mesyuarat yang memfokuskan penganjuran program gotong-royong mega telah diadakan di PDTL, Ahad lalu.
"Tujuannya ialah untuk memastikan Langkawi dalam keadaan terbaik sebelum pelancong dari seluruh dunia datang, (khususnya) mengelakkan pembiakan nyamuk dan penyakit berjangkit," katanya.
Sementara itu, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) turut melakukan kerja penambahbaikan sistem pembekalan air bagi mengelak masalah bekalan air terputus pada waktu puncak sepanjang penganjuran pameran berprestij itu.
Menerusi laman Facebook rasminya, Sada memaklumkan sudah melaksanakan kerja-kerja pemasangan paip pintasan di Bukit Changkuan, di sini, bersaiz 300 milimeter (mm).
"Projek ini dilaksanakan bagi memperbaiki masalah tekanan air di beberapa kawasan, antaranya Kebun Limau Pemandangan Indah dan Pemandangan Indah Guest House.
"Projek ini adalah sebahagian daripada tindakan Sada bagi menghadapi permintaan air yang tinggi sempena LIMA '25 yang akan berlangsung pada bulan hadapan," katanya.
Untuk rekod, LIMA kali ini dianjurkan bersama Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) dengan segmen aeroangkasa di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), manakala segmen maritim diadakan di Resort World Langkawi.
Disiarkan pada: April 15, 2025 @ 1:28pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/04/1207905/persiapan-logistik-lima-25-semakin-rancak
Pages:
[1]