JDT II juara Piala MFL
JDT II juara Piala MFLOleh Rizar Mohd Noor - April 14, 2025 @ 10:[email protected]
https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2025-04-14_at_23.38.36_1744645643.jpg
Pasukan JDT FC II meraikan kejayaan menjuarai Piala MFL di Stadium Sultan Ibrahim. NSTP/MUHAMMAD NAJMI NOR’AZAM
ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) muncul juara Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2024/2025 dengan bergaya selepas membelasah Penang FC II (PFC II) 7-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Gonzalo Zaballos menamatkan saingan Piala MFL di tangga pertama selepas mengumpul 53 mata manakala pencabar terdekat, Selangor FC terpaksa berpuashati selaku naib juara biarpun turut membelasah Kedah Darul Aman FC B 7-0.
Lebih manis, kejayaan anak didik Zaballos itu menebus kehampaan pada musim 2023 apabila sekadar muncul naib juara selepas tewas tipis 0-1 kepada Terengganu FC II ( TFC II) pada aksi final yang ketika itu saingan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan B.
JDT II begitu mengidamkan kejuaraan Piala MFL yang tidak lagi dipertandingkan pada musim 2025/2026, menurunkan empat tonggak skuad senior apabila kelibat Shane Lowry selaku kapten, Romel Morales Heberty Fernandes dan Shahrul Saad berada dalam kesebelasan utama.
https://assets.bharian.com.my/images/articles/jjjdo_1744645640.jpg
Pemain JDT FC II, Najmuddin Akmal meraikan jaringan ketika perlawanan Piala MFL 2024/2025 di Stadium Sultan Ibrahim. Foto: NSTP/Muhammad Najmi Nor’Azam
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas gerakan menarik dimulakan Shafizan Arshad yang bertindak melintangkan bola tepat kepada Gabriel Nistelrooy mudah menyepak bola masuk menewaskan penjaga gol, Haziq Mukriz Mohamed Hasemudin.
Gol itu juga menambah koleksi jaringan buat pemain kelahiran Miri, Sarawak yang sudah meledak 23 gol sepanjang 24 perlawanan dan muncul penjaring terbanyak dalam saingan Piala MFL.
Skuad Merah Biru menggandakan jaringan pada minit ke-14 selepas bola rembatan Morales berjaya ditampan Haziq Mukriz namun Najmudin Akmal Kamal Akmal bertindak melakukan rembatan susulan untuk merembat masuk ke gawang bagi meletak tuan rumah selesa mendahului 2-0.
Gol ketiga JDT II hadir menerusi Morales sebelum Najmuddin Akmal mencetak gol kedua peribadinya pada minit ke-26 bagi meletakkan pasukan selesa mendahului 4-0.
Bersambung babak kedua, Najmuddin Akmal melakar hatrik pertamanya bagi musim ini pada minit ke-49 selepas tandukannya berjaya menewaskan Haziq Mukriz sebelum Morales melakar gol kedua peribadinya pada minit ke-60 untuk gol keenam pasukan.
Tindakan Aikmal Roslan menjatuhkan Gabriel di dalam kotak penalti pada minit ke-63 menyaksikan pengadil, Zulkarnain Zakaria tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.
Gabriel menambah koleksi jaringan peribadinya kepada 24 gol apabila menyudahkan sepakan penalti bagi meletak JDT II dengan jaringan 7-0 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/04/1384452/jdt-ii-juara-piala-mfl
Pages:
[1]