sfhzuraz Publish time 3-4-2025 05:14 PM

Pendaratan ikan tuna di Pulau Pinang tingkat ekonomi

Pendaratan ikan tuna di Pulau Pinang tingkat ekonomi

BERNAMA



https://assets.hmetro.com.my/images/articles/tuna232_1743670250.jpg


Georgetown: Pulau Pinang bukan sahaja terkenal dengan makanan dan pantainya, malah ia adalah satu-satunya negeri yang menjalankan pendaratan ikan tuna di Malaysia dari Lautan Hindi sebelum dieksport ke beberapa negara untuk pasaran antarabangsa.
Ikan berkenaan ditangkap di perairan Lautan Hindi sebelum disejukkan dan dihantar ke negara seperti Jepun serta dijadikan sashimi yang diakui antara terbaik di dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata, sejak awal 1990, Pulau Pinang adalah pintu utama kemasukan tuna ke Malaysia.
Menurutnya, terdapat banyak vesel luar negara termasuk Taiwan yang memilih Pulau Pinang untuk mendarat, memproses dan mengeksport tuna semula ke Taiwan atau ke pasaran Jepun.
Katanya, pendaratan ikan tuna di Pulau Pinang memberikan banyak faedah daripada segi ekonomi dan sosial kerana ia adalah sumber pendapatan yang penting bagi pengusaha tempatan, selain ia adalah ikan bernilai tinggi di pasaran luar negara.
"Ia memberi peluang kepada industri perikanan untuk berkembang dan meningkatkan ekonomi tempatan jika industri hiliran dapat dikembangkan.
"Dengan peningkatan aktiviti pendaratan ikan tuna, ia dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor perikanan dan industri yang berkaitan seperti pemprosesan ikan, pengangkutan serta perdagangan," katanya.
Menurutnya, sehingga kini, masih belum ada industri hiliran di Pulau Pinang, namun jika pendaratan meningkat tidak mustahil negeri ini menjadi pusat pemprosesan ikan tuna yang menyediakan produk makanan laut berkualiti tinggi untuk pasaran tempatan dan luar negara.
Katanya, ia mampu menggalakkan pelaburan dalam industri pemprosesan dan meningkatkan daya saing produk makanan laut Malaysia.
"(Akan berlaku) peningkatan pelancongan jika jeti dan industri hiliran dibangunkan dengan baik, dengan adanya aktiviti pendaratan ikan tuna yang sering menarik perhatian pelancong, ia turut menyumbang kepada sektor pelancongan terutama di kawasan yang terlibat dalam proses pendaratan dan pasaran ikan," katanya.
Selain meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan, beliau berkata, tuna adalah komoditi bernilai tinggi di pasaran antarabangsa dan memberi peluang kepada industri perikanan Malaysia untuk berkembang.
Fahmi memaklumkan operasi pendaratan ikan tuna dilakukan di Dermaga Dalam Butterworth yang berjaya meningkatkan ekonomi.
Menurutnya, kerajaan mewujudkan Kompleks Perikanan Batu Maung yang diurus oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), namun ia tidak mampu mengendali pendaratan tuna disebabkan masalah pemendapan lumpur.
Katanya, susulan itu, Pelabuhan Komersial di Dermaga Dalam Butterworth dipilih untuk pendaratan tuna hingga sekarang.
"Pada 2023, sebanyak 16 vesel telah mendaratkan 3.13 juta kilogram tuna bernilai RM3.191 juta.
"Jumlah untuk tahun lalu kita masih belum dapat secara terperinci dan saya harap tahun ini lebih banyak ikan tuna didaratkan di Pulau Pinang supaya dapat terus meningkatkan ekonomi," katanya.


Disiarkan pada: April 3, 2025 @ 4:57pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/04/1203792/pendaratan-ikan-tuna-di-pulau-pinang-tingkat-ekonomi



Pages: [1]
View full version: Pendaratan ikan tuna di Pulau Pinang tingkat ekonomi


ADVERTISEMENT