sfhzuraz Publish time 3-4-2025 05:01 AM

Kopi Cap Raga jadi pilihan orang Kedah sejak 1978

Edited by sfhzuraz at 3-4-2025 05:02 AM

Kopi Cap Raga jadi pilihan orang Kedah sejak 1978

ROSHILA MURNI ROSLI
01 April 2025 11:00am



https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/04/01/3061306.jpg
Najmuddin menunjukkan jenis pembungkusan kopi keluaran syarikat mereka.


YAN – Sejak diperkenalkan pada tahun 1978, Kopi Cap Raga terus mengekalkan keistimewaan rasanya yang tersendiri dan menjadi pilihan ramai, khususnya penduduk di sekitar negeri Kedah.
Kopi tempatan ini mula diusahakan oleh Daud Husin, 87, sejak 47 tahun lalu sebelum dibantu oleh anaknya Che Amat@abdul Baharin Daud, 68, dan cucunya Najmuddin Che Amat@ Abd Baharin, 41.

Najmuddin yang merupakan Penolong Pengurus Kopi Cap Raga berkata, perniagaan itu pada asalnya timbul atas dasar keperluan hidup pada zaman datuknya dahulu memandangkan kopi adalah minuman harian masyarakat setempat.
“Datuk saya pada mulanya tidak memproses sendiri kopi sebaliknya mengambil bekalan kopi yang siap diproses dari kilang di Alor Setar dan menjualnya di pekan sehari di sekitar daerah Yan,” katanya.


https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/04/01/3061308.jpg
Kopi Cap Raga beroperasi di Kampung Kabu 10, Sungai Limau Dalam, Yan


Bapa kepada tiga orang cahaya mata ini berkata, melihat sambutan yang luar biasa, datuknya kemudian mengambil langkah berani untuk membuka kilang memproses biji kopi di rumah mereka di Kampung Kabu 10, Sungai Limau Dalam di sini.
Kemudian ayah saya (Amat) menamatkan pengajian dan dia mula melibatkan diri sepenuh masa sebagai pengurus di syarikat kami ini bagi membantu mengembangkan perniagaan keluarga,” katanya ketika ditemui di kilang kopi mereka di sini.

Menurutnya, semasa penglibatan ayahnya, antara usaha yang dilakukan termasuklah mengedarkan Kopi Cap Raga ke kedai-kedai runcit di sekitar Kedah.


Kini, selain jualan secara konvensional di kedai runcit, Kopi Cap Raga turut ditawarkan secara dalam talian. Peralihan ke platform digital ini membantu memperluas capaian pasaran, bukan sahaja di Kedah malah ke luar negeri, seiring permintaan yang semakin meningkat,”ujarnya.


https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/04/01/3061307.jpg
Najmuddin sedang memeriksa stok kopi untuk dihantar ke kedai runcit seluruh Kedah.


Bercerita lanjut, Najmuddin berkata jenama ‘Cap Raga’ itu tercetus daripada kebiasaan pengunjung pekan sehari yang membawa ‘raga’ (bakul) untuk membeli pelbagai barangan.
“Ada yang membeli kopi dan terus meletakkannya dalam raga. Daripada situlah ilham nama ‘Cap Raga’ muncul,” jelas Najmuddin.
Najmuddin yang merupakan anak sulung dari empat beradik berkata, untuk kekal relevan dalam pasaran, kopi mereka juga perlu selaras dengan peredaran zaman.
“Sebagai contoh, kami mengambil inisiatif mencipta kotak cenderahati sendiri untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan.
“Kami juga sediakan pilihan bungkusan dalam pelbagai jenis saiz iaitu 50gram (g) 120g, 250 g,500g,1 kilogram (kg) dan peket 2 dalam 1.
“Tapi sambutan yang 2 dalam 1 agak berkurangan mungkin sebab penduduk Kedah ini mereka suka kopi yang bancuh sendiri supaya boleh disesuaikan dengan tekak mereka,” ujarnya.
Najmuddin berkata, bagi menampung permintaan dalam pasaran mereka perlu menyediakan sekurang-kurangnya 1000kg kopi sehari.
Kita ada 21 orang pekerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan sekitar Sungai Limau Dalam.
“Insya-ALLAH kami dalam perancangan untuk mengedarkan produk kami ini ke kedai-kedai runcit luar Kedah terutama negeri-negeri di Utara,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/720540/edisi/utara/kopi-cap-raga-jadi-pilihan-orang-kedah-sejak-1978

Pages: [1]
View full version: Kopi Cap Raga jadi pilihan orang Kedah sejak 1978


ADVERTISEMENT