sfhzuraz Publish time 2-4-2025 04:15 PM

Ramai tidak patuh larangan pamer rokok secara terbuka

Edited by sfhzuraz at 2-4-2025 04:18 PM

Ramai tidak patuh larangan pamer rokok secara terbuka

MOHD ISKANDAR OTHMAN
02 April 2025 01:14pm



https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/04/02/3068801.jpg
Tinjauan di Bertam Perdana mendapati pemilik kedai runcit masih belum mengalihkan produk rokok di kaunter jualan.


BUTTERWORTH - Masih banyak kedai runcit dan restoran di negeri ini gagal mematuhi Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang melarang mereka mempamerkan produk rokok dan vape secara terbuka.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai di sekitar Seberang Perai pada Rabu mendapati banyak premis yang belum lagi mengalihkan produk tembakau dan vape di bahagian kaunter jualan seolah-olah tidak tahu mengenai penguatkuasaan akta berkenaan bermula 1 April.

Malah ada beberapa kedai yang dilawati di kawasan Teluk Air Tawar di sini mendapati pekerjanya sedang menyusun stok baharu kotak rokok di ruang pameran kaunter untuk jualan.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Mariam berkata, dia tidak tahu langsung mengenai penguatkuasaan peraturan itu sebaliknya hanya melakukan rutin harian biasa untuk mengemas kini stok rokok di kaunter pameran.


https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/04/02/3068800.jpg
Tinjauan di sebuah kedai serbaneka masih mempamerkan produk rokok di kaunter jualan.


"Maaf saya hanya bekerja di sini dan tidak tahu berkenaan peraturan ini.

"Saya akan maklumkan kepada majikan segera untuk ubah semua produk rokok di kaunter," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Tinjauan di Bertam Perdana pula, seorang pengusaha kedai runcit memberi alasan tidak sempat untuk mengalihkan semua produk rokok yang dipamerkan di kaunter jualan berikutan kedainya baru dibuka pada hari ini selepas bercuti sempena hari raya.

"Saya tahu dan ingat mengenai penguatkuasaan peraturan ini tapi tak sempat lagi nak alihkan kotak-kotak rokok ini ke tempat lain.
"Pastinya saya menghormati serta patuh peraturan yang akan ditetapkan oleh kerajaan dan akan menutup tempat pameran rokok ini dalam masa terdekat," katanya.
Sementara itu, pengusaha restoran nasi kandar di Butterworth pula didapati hanya mempamerkan produk vape yang masih berbaki beberapa kotak di kaunter jualan premisnya.
"Ya... saya memang nak alihkan semua vape ni dan cuma tinggal beberapa kotak lagi untuk dijual.
"Habis dijual nanti memang kami tidak akan jual lagi rokok atau vape di kedai ini," katanya.
Tinjauan di kedai serbaneka yang mempunyai ratusan cawangan di negara ini juga mendapati produk rokok masih dijual dan dipamerkan di kaunter premis berkenaan.
Penyelia kedai serbaneka terbabit mengakui mengetahui mengenai peraturan yang sudah dikuatkuasakan bagaimanapun dia dan pekerja lain masih menunggu arahan daripada pihak pengurusan untuk mengalihkan produk tembakau yang dijual di premis mereka.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Belia dan Sukan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata, Jabatan Kesihatan negeri akan memantau premis gerai bagi memastikan mereka tidak mempamerkan produk merokok di kedai runcit.
Menurutnya, individu boleh didenda daripada RM500 hingga RM30,000, manakala organisasi boleh dikenakan denda sehingga RM300,000 atau penjara.
"Sebenarnya banyak sesi libat urus telah dilaksanakan kepada penjual
"Tambahan 'engagement' juga dilaksanakan oleh pihak pengilang, memandangkan sebenarnya banyak kiosk atau kaunter penjualan produk merokok ini dibekalkan oleh pihak pengilang," katanya.
Terdahulu, Akta 852 telah diwartakan Oktober lalu namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi tempoh tangguh sehingga 1 April sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan.
Katanya, KKM sentiasa memastikan setiap peraturan dipatuhi mengikut tempoh yang ditetapkan, termasuklah dengan penguatkuasaan pendidikan dan advokasi yang dijalankan secara berterusan.
Bagi memastikan pematuhan terhadap kawalan yang ditetapkan, KKM telah menetapkan pendekatan penguatkuasaan secara berfasa yang berhemah, berhikmah dan berkesan.
https://www.sinarharian.com.my/article/720697/edisi/utara/ramai-tidak-patuh-larangan-pamer-rokok-secara-terbuka

Pages: [1]
View full version: Ramai tidak patuh larangan pamer rokok secara terbuka


ADVERTISEMENT