Penduduk tuntut pemilik anjing Rottweiler bertanggungjawab terhadap kecederaan semua mangsa
Penduduk tuntut pemilik anjing Rottweiler bertanggungjawab terhadap kecederaan semua mangsaOleh Noorazura Abdul Rahman - April 2, 2025 @ 11:35am [email protected]
https://assets.bharian.com.my/images/articles/bh042anjing2_1743564917.jpg
Penduduk Taman Desa Bidara di Kuala Ketil mahu pemilik dua ekor anjing jenis Rottweiler yang menyerang lima individu semalam, bertanggungjawab terhadap kecederaan yang dialami semua mangsa.
BALING: Penduduk Taman Desa Bidara di Kuala Ketil di sini mahu pemilik dua ekor anjing jenis Rottweiler yang menyerang lima individu awal pagi semalam, bertanggungjawab terhadap kecederaan yang dialami semua mangsa.
Seorang penduduk yang enggan nama disiarkan, mendakwa dia antara individu yang sudah bersemuka dengan pemilik anjing terbabit selepas seorang wanita cedera parah terkoyak belakang kepala dalam insiden itu
Katanya, pemilik anjing terbabit gagal mengambil iktibar daripada insiden pertama dua tahun lalu yang membabitkan anjing yang sama sehingga menyebabkan seorang pensyarah cedera parah.
"Dia gagal belajar daripada insiden pertama pada tahun 2023 walaupun pensyarah universiti mengalami kecederaan serius.
"Dia sudah tahu bahawa memelihara Rottweiler di kawasan perumahan adalah satu kesalahan, namun dia tetap melanggar undang-undang," kata pesara itu.
Beliau berkata, alasan lelaki itu bahawa anjingnya terlepas dari rumah tidak boleh diterima.
"Pemilik itu mendakwa anjingnya terlepas kerana pintu pagar automatik rosak. Dia sepatutnya mengurung anjing-anjingnya dalam sangkar sejak awal lagi kerana sudah mengetahui bahawa Rottweiler akan mengambil peluang untuk melarikan diri," katanya.
Menurutnya, penduduk marah dengan kejadian semalam yang menyebabkan mangsa cedera parah.
"Ramai di antara kami tidak berpuas hati. Kami tidak akan berdiam diri sehingga dia bertanggungjawab atas apa yang berlaku.
"Dia mesti membayar atas kesakitan dan trauma yang dialami oleh mangsa serta keluarga mereka," katanya.
Seorang lagi penduduk yang turut enggan dikenali, meluahkan kekecewaannya terhadap kurangnya pengawasan pihak berkuasa terhadap pemilik anjing.
Dia menegaskan bahawa pemilik itu sepatutnya dipantau selepas insiden pertama dua tahun lalu.
"Bagaimana dia boleh dengan sewenang-wenangnya melanggar undang-undang selepas apa yang terjadi kepada mangsa pertama dua tahun lalu.
"Adakah tiada pengawasan atau penguatkuasaan terhadap pemilik anjing ini? Bagaimana dia boleh dibiarkan berbuat sesuka hati?" katanya.
Semalam media melaporkan lima mangsa diserang oleh dua ekor anjing yang dipercayai jenis Rottweiler yang terlepas dari rumah pemiliknya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Mansor Zakaria, berkata beliau sudah mengarahkan Majlis Daerah Baling supaya mengambil tindakan segera dan memastikan pemilik anjing itu bertanggungjawab atas kejadian terbabit.
Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya, mengesahkan pemeriksaan mendapati bahawa anjing yang sama terbabit dalam serangan pada tahun 2023 yang menyebabkan seorang lelaki cedera.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/04/1379572/penduduk-tuntut-pemilik-anjing-rottweiler-bertanggungjawab-terhadap
Pages:
[1]