Penghujung Ramadan bawa 'seribu rahmat' kepada tujuh beranak
Penghujung Ramadan bawa 'seribu rahmat' kepada tujuh beranakOleh Zuhainy Zulkiffli - Mac 30, 2025 @ 4:48pm
https://assets.bharian.com.my/images/articles/SeribuRahmat_1743325617.jpg
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (kiri) ketika melawat Hasrizal Mehad, 47, bersama isteri, Mazmin Yusoff, 47, di rumah mereka di Permatang Damar Laut, di sini. - Foto FB Sim Tze Tzin
BAYAN BARU: Ramadan membawa seribu rahmat. Hanya itu yang dapat menggambarkan usaha orang ramai apabila mengumpul sumbangan RM26,000 dalam tempoh 24 jam bagi membantu keluarga seorang pekerja gudang selepas kesulitan hidup mereka dikongsi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, semalam.
Menerusi perkongsian hantaran di media sosial Tze Tzin, lelaki terbabit, Hasrizal Mehad, 47, bersama isteri, Mazmin Yusoff, 47, dan lima anak berusia di antara empat bulan hingga 18 tahun, hidup dalam serba kekurangan di Permatang Damar Laut, di sini.
Tze Tzin berkata, Hasrizal yang berpendapatan sebanyak RM1,700 sebulan, tinggal di sebuah rumah setinggan yang usang dengan keadaan bumbung bilik mereka yang bocor ketika cuaca hujan.
"Bayangkan katil mereka basah dan lantai rumah becak ketika hujan, tetapi keluarga berkenaan tiada pilihan.
"Mereka terpaksa tidur di atas katil basah dan di bawah teduhan payung kecil. Baru-baru ini, Hasrizal terpaksa berjalan kaki sejauh 3 kilometer perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja berikutan motosikalnya rosak.
"Dia berjalan kaki kerana berjimat bagi membayar wang baiki motosikal yang berjumlah RM500.
"Lantaran kesusahan mereka, hanya seorang daripada anak Hasrizal bersekolah darjah lima manakala dua lagi terpaksa berhenti belajar," katanya menerusi perkongsian berkenaan.
Menurut Tze Tzin, ketika melawat keluarga itu, dua anaknya didapati 'berkaki ayam' dan mendakwa getah selipar mereka sudah putus serta memerlukan wang sebanyak RM8 bagi membeli sepasang selipar baharu.
Keluarga terbabit juga mendakwa sering keputusan makanan dan adakalanya terpaksa berlapar.
"Bagi mereka, setiap hari adalah bulan Ramadan kerana terpaksa berpuasa kerana tidak cukup makan. Kadang kala pasangan itu tidak makan bagi memastikan anak mereka dapat makan.
"Malah Mazmin juga pernah tidak dapat hasilkan susu badan buat bayinya kerana tidak makan.
"Hasrizal menerima bantuan bulanan sebanyak RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tidak pernah meminta bantuan di pejabat saya, mujurlah kisah mereka ini dimaklumkan jiran mereka kepada saya," katanya lagi.
Susulan wang sebanyak RM26,000 yang dikumpulkan, Tze Tzin berkata, beliau sudah mendapatkan bantuan unit rumah kerajaan negeri yang mana sewa dan bil utiliti akan ditanggung pihaknya selama tiga tahun.
Pihaknya juga akan bantu Hasrizal bagi mencari pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi selain mendaftar anak pasangan itu ke Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya mereka dapat belajar kemahiran.
"Motosikal baharu juga sudah dibelikan buat kegunaan Hasrizal untuk ke tempat kerja dan kami juga membawa keluarga ini bagi membeli kelengkapan raya.
"Terima kasih kepada semua yang sudi memberi sumbangan kepada keluarga Hasrizal. Semoga Hari Raya Aidilfitri ini memberi seribu kesyukuran buat keluarga ini dan kita semua," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1378817/penghujung-ramadan-bawa-seribu-rahmat-kepada-tujuh-beranak
Pages:
[1]