sfhzuraz Publish time 29-3-2025 03:55 AM

Rondaan di perairan negara dipertingkat sepanjang Aidilfitri

Edited by sfhzuraz at 29-3-2025 03:56 AM

Rondaan di perairan negara dipertingkat sepanjang Aidilfitri

SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
28 Mac 2025 11:12am



https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/03/28/3064532.jpg
Rusley (kiri) menyampaikan Bungkusan Raya PDRM 2025 kepada anggota Pasukan Polis Marin pada Khamis.


GEORGE TOWN - Pasukan Polis Marin Wilayah 1 akan terus mempertingkatkan rondaan di perairan negara bagi memastikan keselamatan awam dan mencegah jenayah maritim sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Komandernya, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, rondaan dan pengawasan itu dilaksanakan bagi menangani aktiviti penyeludupan, pencerobohan nelayan asing dan jenayah rentas sempadan.

]https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/03/28/3064533.jpg
Rusley

Menurutnya, selain pemantauan di perairan utama, Pasukan Polis Marin turut menjalankan pemeriksaan ke atas kapal serta bot nelayan bagi memastikan pematuhan undang-undang maritim.
"Kita akan tetap melaksanakan rondaan dan pengawasan di laut malah akan dipertingkatkan kerana selalunya, ketika musim perayaan, jenayah di laut akan bertambah. Ini bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin.
Penjenayah mungkin beranggapan musim perayaan, polis tidak membuat rondaan atau pemeriksaan, sebaliknya kita bekerja seperti biasa malah lebih aktif lagi bagi memastikan tiada kegiatan jenayah di laut sepanjang sambutan Aidilfitri ini," katanya ketika ditemui pada Khamis.
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/03/28/3064531.jpg
Bungkusan kuih raya diedarkan kepada semua anggota dan pegawai di Wilayah 1.


Tambahnya, keselamatan perairan negara perlu sentiasa diberi keutamaan, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan aktiviti perkapalan dan pergerakan bot di laut.

"Walaupun pada bulan Ramadan atau hari raya, kita masih mengekalkan operasi dan memastikan keselamatan di perairan sentiasa ketat selain tiada yang bolos.
"Seperti contoh baru-baru ini, kita berjaya menahan empat warga asing yang terlibat dengan pengedaran dadah rentas sempadan. Kita merampas 20 kilogram syabu dan bot," katanya.

Ujar Rusley, hanya 10 peratus daripada 585 anggota dan pegawai Pasukan Polis Marin Wilayah 1 dibenarkan bercuti manakala selebihnya perlu bertugas seperti biasa.
"Selain anggota dan pegawai yang bertugas di atas kapal dan bot ronda, kita juga menjalankan tugas dan operasi di pesisiran pantai seperti risikan dan sebagainya.
"Di pejabat pun beroperasi seperti biasa terutamanya untuk kawalan keselamatan bagi memastikan keselamatan semua 'base' kita berada dalam keadaan siap sedia.
Begitu juga anggota-anggota operasi yang ada di pejabat, mereka ini akan digerakkan pada bila-bila masa jika anggota yang bertugas memerlukan bantuan seperti tangkapan, pemeriksaan dan sebagainya," tambahnya.
Pasukan Polis Marin Wilayah 1 mempunyai 35 bot ronda yang akan menjalankan penugasan di perairan secara penggiliran.
Terdahulu, Rusley turun padang menyantuni anggota dan pegawai yang bertugas di laut dengan menyampaikan kuih raya serta juadah tradisional sebagai tanda penghargaan.
Menurutnya, ia sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan anggota dan pegawai yang bertugas di perairan negara sepanjang Hari Raya Aidilfitri ini.
"Sebanyak 50 bungkusan kuih raya diedarkan kepada semua anggota dan pegawai di Wilayah 1. Pemberian ini dibuat sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan anggota kita yang tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga kerana tugas menjaga keselamatan perairan negara.
"Kita faham bahawa bertugas di laut, jauh daripada keluarga, terutama ketika musim perayaan, bukan satu perkara mudah. Oleh itu, pemberian ini adalah simbol penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada anggota yang tetap komited menjalankan tugas mereka walaupun dalam suasana perayaan.
"Semoga dengan sedikit sumbangan ini, mereka dapat merasai kemeriahan Aidilfitri walaupun berada di tengah laut,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/720093/berita/semasa/rondaan-di-perairan-negara-dipertingkat-sepanjang-aidilfitri

Pages: [1]
View full version: Rondaan di perairan negara dipertingkat sepanjang Aidilfitri


ADVERTISEMENT