Kanak-kanak lelaki austisme dilaporkan hilang
Kanak-kanak lelaki austisme dilaporkan hilangOleh Zuliaty Zulkiffli - Mac 28, 2025 @ 5:15pm [email protected]
https://assets.bharian.com.my/images/articles/photo_6285226137508495898_y_%281%29_1743153321.jpg
Operasi pencarian kanak-kanak 4 tahun yang dilaporkan hilang dilakukan di kawasan berhampiran rumahnya oleh pelbagai agensi penyelamat. - Foto NSTP/Ihsan BOMBA
BALING: Seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) autisme dan masalah pembelajaran dipercayai hilang dari rumahnya di Kampung Landak Paya, Kupang, di sini hari ini.
Kehilangan kanak-kanak berusia empat tahun itu disedari ahli keluarganya sekitar jam 12.50 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, operasi pencarian dilakukan lebih satu jam lalu dan tertumpu di kawasan berhampiran rumah mangsa.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa pada jam 2.40 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Baling yang tiba di lokasi melakukan pencarian di sekitar rumah mangsa yang terletak berhampiran sungai.
"Kerja-kerja pencarian mangsa dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sepanjang tebing sungai, mini tar dan jalan utama.
"Setakat ini, belum ada sebarang petunjuk penemuan mangsa di lokasi pencarian.
"Operasi pencarian turut disertai polis dan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, pihak bomba turut pun melakukan pencarian awal dan operasi kini diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/03/1378195/kanak-kanak-lelaki-austisme-dilaporkan-hilang
Edited by sfhzuraz at 29-3-2025 02:38 AM
'Doakan cucu saya segera ditemui'
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
28 Mac 2025 09:19pm
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/03/28/3065582.jpg
Mohamad Fayyad Affan yang menghidap masalah pertuturan dan autisme ringan dikatakan keluar dari pintu belakang rumah.
BALING - "Doakan cucu saya segera dijumpai."
Demikian luahan Hasni Abd Aziz, 50, nenek kepada kanak-kanak autisme, Mohamad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, yang masih hilang sejak tengah hari Jumaat.
Mohamad Fayyad dipercayai keluar berjalan kaki dari rumah keluarganya dekat Kuarters JPS Kampung Landak Paya, Kupang, di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Menurut Hasni, seluruh ahli keluarga bimbang dengan keadaan Mohamad Fayyad, lebih-lebih lagi cuaca hujan pada hari kejadian.
https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/03/28/3065581.jpg
Operasi pencarian ditangguhkan pada jam 6.30 petang dan akan diteruskan jam 8 pagi Sabtu.
"Risau sangat dengan keadaan cucu sebab tadi hujan...harap dipermudahkan pencarian dan segera ditemui," katanya ketika dihubungi.
Kanak-kanak itu, yang mengalami masalah pertuturan dan autisme ringan, dikatakan keluar melalui pintu belakang rumah sebelum disedari hilang.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, memaklumkan bahawa operasi pencarian ditangguhkan sementara pada jam 6.30 petang atas arahan pihak polis dan akan disambung semula pada jam 8 pagi Sabtu.
“Operasi esok akan menumpukan pencarian di bahagian hadapan sungai serta membabitkan Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM), K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Sungai Petani,” katanya.
Sebelum ini, operasi pencarian melibatkan pasukan dari PDRM, JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan bomba sukarela serta penduduk kampung.
Radius pencarian diperluaskan sejauh satu kilometer dan dibahagikan kepada empat sektor bagi memastikan pencarian lebih berkesan.
https://www.sinarharian.com.my/article/720227/berita/semasa/doakan-cucu-saya-segera-ditemui
Pages:
[1]