sfhzuraz Publish time 29-3-2025 01:51 AM

Bantu 20 asnaf beli juadah berbuka, usahawan ketepikan perbezaan agama, kaum

Bantu 20 asnaf beli juadah berbuka, usahawan ketepikan perbezaan agama, kaum

Oleh Nur Izzati Mohamad - Mac 28, 2025 @ 11:34am [email protected]





https://assets.bharian.com.my/images/articles/asnaff_1743132839.jpg
Chin Wei menyantuni 20 asnaf ke Bazar Ramadan Bandar Perda untuk membeli juadah berbuka puasa untuk dibawa pulang dan dinikmati bersama keluarga. - Foto Nur Izzati Mohamad


BUKIT MERTAJAM: Walaupun berbeza agama dan kaum namun usahawan permotoran, di sini tidak kekok menyantuni golongan asnaf beragama Islam dan menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan sepanjang Ramadan.
Malah, William Khoo Chin Wei yang juga pemenang Anugerah Qudwatur Rasul (Saudara Kita) pada sambutan Maulidul Rasul dua tahun lalu, gembira melaksanakan kerja amal bagi menyumbang keuntungan diperoleh daripada hasil perniagaannya kepada masyarakat.
"Ini tahun kelapan, syarikat saya melakukan pelbagai program tanggungjawab sosial (CSR) tidak kira kaum Melayu, Cina dan India kerana semua ini adalah pelanggan saya, disamping mengeratkan perpaduan antara kita.
"Menjadi hasrat saya menyumbang kembali apa yang diperoleh kepada masyarakat kerana saya mahu melihat orang ramai gembira," katanya selepas menyampaikan sumbangan tunai kepada 20 asnaf membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Bandar Perda, di sini, semalam.
Sepanjang Ramadan ini, beliau berkata, pihaknya sudah menganjurkan pelbagai program untuk meraikan masyarakat beragama Islam di negeri ini dan akan diteruskan setiap tahun.
Berhubung program pembelian juadah, Chin Wei berkata, asnaf terpilih diberi sejumlah wang dan boleh membeli apa sahaja yang mereka mahu kemudian bawa balik makan bersama keluarga.
"Untuk mereka yang tinggal seorang diri, boleh beli dan berkongsikan rezeki dengan jiran-jiran yang kerap membantu mereka," katanya yang turut menyampaikan duit raya kepada kesemua asnaf berkenaan.
Sementara itu, warga emas, Aishah Yahya,75, berkata meskipun dia tinggal seorang diri di rumahnya namun juadah yang dibelinya dapat dikongsi bersama beberapa jiran terdekat yang sering membantunya.
"Saya tidak sangka terpilih menerima sumbangan ini yang mana kami dibawa ke bazar Ramadan dan diberikan sejumlah wang bagi membeli apa sahaja makanan yang kami mahu untuk berbuka puasa.
"Puasa bukan nak makan banyak tetapi dah rezeki orang menyumbang kita jangan tolak, saya tinggal seorang diri tapi dalam rezeki saya ada rezeki jiran-jiran saya juga yang juadah saya beli boleh dikongsikan dengan mereka," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1378011/bantu-20-asnaf-beli-juadah-berbuka-usahawan-ketepikan-perbezaan




Pages: [1]
View full version: Bantu 20 asnaf beli juadah berbuka, usahawan ketepikan perbezaan agama, kaum


ADVERTISEMENT