Syawal 7 beranak suram selepas pemergian insan tersayang
Syawal 7 beranak suram selepas pemergian insan tersayangBERNAMA
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/KADHAR_SHAH_ABDUL_sdRAZAK_1743048960.jpg
Nasmir Holding Sdn Bhd, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak (berdiri tiga dari kanan) sambil diperhatikan Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (MUTIARA), Mohd Iskandar Othman (berdiri kanan) menyampaikan sumbangan kepada Farizah Adani Ismail, 35, (berdiri lima dari kanan) sempena program Ziarah Kasih Ceriakan Syawal 2025 anjuran MUTIARA dengan kerjasama Syarikat Nasmir Holding Sdn Bhd menerusi Yayasan Al Nasmir di Juru. FOTO DANIAL SAAD
Bukit Mertajam: Syawal kali ini begitu suram buat Farizah Adani Ismail dan enam anaknya apabila suami yang menjadi tempat bergantung pergi menghadap Ilahi bulan lalu.
Farizah Adani, 35, berkata, suaminya, Mohd Noor Affan Ruslan meninggal dunia secara mengejut selepas tidak sedarkan diri di rumah mereka di Flat Bandar Baru Perda di Teluk Kumbar, Bayan Lepas.
Bedah siasat di Hospital Balik Pulau mengesahkan kematian pekerja di sebuah gudang kargo di Bayan Lepas itu pada 19 Februari, disebabkan pembuluh darah pecah.
"Arwah sudah lama menghidap penyakit darah tinggi tetapi tak sangka dia akan pergi secepat ini. Sebelum ini dia memang kerap mengadu sakit kepala tetapi dua, tiga hari sebelum pergi, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda sakit," katanya.
Suri rumah itu berkata demikian ketika ditemui pada program Ziarah Kasih Ceriakan Syawal 2025 anjuran Kelab Media Mutiara Pulau Pinang dan Yayasan Al Nasmir, di sini, semalam.
Farizah Adani berkata, suaminya tidak membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri tahun ini dan sering mengelak serta menukar topik apabila anak bertanya perkara itu, berbeza daripada kebiasaan arwah yang sering berbuat demikian sebelum Ramadan.
Bagaimanapun, Farizah Adani reda dengan ketentuan Allah SWT dan sedang menyesuaikan diri untuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu serta bapa kepada enam anak berusia setahun tujuh bulan hingga 13 tahun.
"Ketiadaan arwah memang amat dirasai, kerana dia sangat rapat dengan anak dan banyak menguruskan mereka termasuk menghantar dan mengambil dari sekolah," katanya.
Sementara itu, Presiden Kelab Media Mutiara Mohd Iskandar Othman berkata, program tahunan berkenaan diadakan bagi meraikan golongan memerlukan dan membawa keceriaan kepada mereka dalam menyambut kehadiran Syawal.
Beliau berkata, pihaknya membantu keluarga itu membuat persiapan menyambut Aidilfitri, termasuk membeli pakaian baharu selain Pengarah Urusan Yayasan Al Nasmir Datuk Khadar Shah Abdul Razak melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), menyumbang perkakasan rumah dan barangan elektrik.
Yayasan itu juga membantu membayar sewa rumah serta bil api dan air selama setahun, selain turut menghulur sumbangan RM1,000 sebagai persiapan raya untuk meringankan beban kewangan keluarga berkenaan.
Disiarkan pada: Mac 27, 2025 @ 12:16pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/03/1201572/syawal-7-beranak-suram-selepas-pemergian-insan-tersayang
Pages:
[1]