Ops HRA 2025: 3 pemandu bas didenda, kompaun lakukan kesalahan jalan raya
Ops HRA 2025: 3 pemandu bas didenda, kompaun lakukan kesalahan jalan rayaOleh Zuliaty Zulkiffli - Mac 26, 2025 @ 9:17am [email protected]
JITRA: Tiga pemandu bas ekspres membabitkan dua syarikat dikesan melakukan kesalahan pada hari pertama Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025, kelmarin.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, antara kesalahan dilakukan ialah memotong di garisan berkembar, memotong kenderaan di garisan putus dan menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan.
Beliau berkata, mereka dikesan melakukan kesalahan itu susulan penyamaran yang dilakukan anggotanya dalam bas terbabit.
Dalam kejadian pertama, katanya, pemandu bas ekspres yang dalam perjalanan membawa penumpang dari Alor Setar menuju ke Kelantan berusia 27 tahun dikesan menurunkan penumpang di tempat tidak sepatutnya pada jam 4 pagi semalam.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 22 (3) Akta Pengangkutan Darat (APAD) 2010 yang boleh didenda tidak kurang RM1,000 tetapi tidak lebih daripada RM500,000. Dia juga didapati melakukan kesalahan memotong di barisan berkembar yang boleh dikompaun RM300.
"Dalam pada itu, seorang lagi pemandu bas ekspres berusia 34 tahun dikesan melakukan memotong di garisan berkembar serta memotong kenderaan di garisan lurus dan putus-putus pada jam 11.45 malam dan dikenakan kompaun RM300 bagi setiap kesalahan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Operasi Khas HRA 2025 di Plaza Tol Jitra, arah Selatan di sini, malam tadi.
Operasi itu turut disertai pegawai dan anggota dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah untuk melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu kenderaan yang diperiksa.
Stein berkata, pemandu sebuah lagi bas ekspres yang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Sungai Petani dikesan melakukan kesalahan menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan pada jam 7.10 pagi, kelmarin.
Katanya, pemandu berusia 29 tahun itu diambil tindakan mengikut Seksyen 22(3) APAD 2010.
"Operasi Ops HRA 2025 ini bermula pada 24 Mac hingga 8 April yang membabitkan seramai 271 anggota JPJ di negeri ini yang akan bertugas sepanjang tempoh 14 hari operasi bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya disamping dalam usaha untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
"Ops Khas HRA 2025 ini memfokuskan kepada pengesanan pematuhan syarat syarat dan peraturan keselamatan, serta kenderaan dipandu dengan selamat berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah - Kaedah di bawahnya.
"Justeru, bagi memastikan peningkatan pematuhan dan keperluan untuk memperbaiki tingkah laku pemandu, JPJ melaksanakan tiga jenis operasi dalam sepanjang tempoh itu dan satu Ops Khas Kenderaan Komersial dan Teknikal (Perkhidmatan Awam)," katanya.
Sementara itu, Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, pihaknya membantu JPJ dalam operasi itu dan melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu yang mencurigakan.
Beliau berkata, kebiasaannya pemandu gantian bas ekspres atau lori yang didapati positif dadah berdasarkan trend sebelum ini dan memberi alasan terpaksa mengambilnya kerana ia menghilangkan mengantuk ketika memandu.
https://assets.bharian.com.my/images/articles/opshra_1742961897.jpg
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam (tengah) bersama anggotanya melakukan pemeriksaan dalam operasi Ops Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 di Plaza Tol Jitra, . - Foto ZULIATY ZULKIFFLI
skhluCT-cLE?si=R3QHkaR3Nc7TbZEE
Pages:
[1]