Sukarelawan APM berkerusi roda, bisa ular katam payung serang saraf kaki
Sukarelawan APM berkerusi roda, bisa ular katam payung serang saraf kakiOleh Siti Aminah Mohd Yusof - Mac 23, 2025 @ 10:08pm [email protected]
https://assets.bharian.com.my/images/articles/6269466227462227537_1742738898.jpg
Steven Sim (berdiri, tengah) ketika menyampaikan bayaran manfaat PERKESO di bawah Skim SPS MADANI kepada Muhammad Syazwan yang berkerusi roda selepas dipatuk ular katam payung ketika bertugas bulan lalu. - NSTP/ Siti Aminah Mohd Yusof
BUKIT MERTAJAM: Kejadian dipatuk ular katam payung ketika bertugas pada 23 Februari lalu menyebabkan seorang anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini terpaksa berkerusi roda.
Walaupun hanya sebelah tangan kiri dipatuk ular, kesannya menular sehingga menyerang saraf kaki membuatkan Muhammad Syazwan Shopiee, 24, tidak mampu berjalan sehingga terlantar 20 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bukit Mertajam.
"Jika terlambat dikejarkan ke hospital, saya mungkin tiada lagi di dunia ini," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan Aidilfitri disampaikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim hari ini.
Mengulas kejadian bulan lalu itu, katanya ketika itu dia sedang mengepit ular yang baru ditangkap di sebuah rumah di kawasan Juru sebelum dibawa ke pejabat APM Seberang Perai Tengah tempatnya bertugas.
"Kejadian sangat pantas. Saya tidak sedar bila ular itu patuk tangan saya.
"Sehingga kini saya tak tahu bila saya boleh berjalan seperti biasa dan sekarang masih dalam tempoh rawatan untuk pemulihan," katanya yang turut bersyukur kerana menerima manfaat bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah skim SPS MADANI sejak bercuti sakit lebih sebulan lalu.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, meskipun kejadian itu hampir meragut nyawa, dia tidak berhasrat bertukar bidang kerjaya sejak menyarung seragam APM lebih setahun lalu dan sedia dipanggil bertugas bila-bila masa sahaja apabila kesihatannya pulih kelak.
Sementara itu Sim berkata, Muhammad Syazwan menerima manfaat caruman PERKESO RM700 sebulan.
Beliau turut menasihati sukarelawan yang mengalami kecederaan semasa bertugas melaporkan kejadian mereka ditimpa musibah kepada PERKESO bagi membolehkan bantuan segera disalurkan melalui skim itu.
Tambahnya, masih ramai pencarum tidak menyedari mereka layak menerima bantuan sedemikian meskipun Skim SPS Madani diperkenalkan untuk anggota sukarelawan seperti APM, Pasukan Bomba Sukarela dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sejak 2019 dan dibiayai subsidi kerajaan.
"Memang mereka dilindungi secara automatik apabila mendaftar dengan PERKESO, tetapi apabila tidak melaporkan yang mereka mengalami kecederaan atau musibah mereka tidak menerima bantuan yang sepatutnya berhak diterima.
"Jadi saya ingin sampaikan mesej ini kalau berlaku apa-apa kita minta pejabat APM laporkan kepada pihak PERKESO berhampiran dan pegawai mereka akan turun melawat dan menjalankan siasatan untuk proses selanjutnya," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1376064/sukarelawan-apm-berkerusi-roda-bisa-ular-katam-payung-serang-saraf
Pages:
[1]