sfhzuraz Publish time 23-3-2025 03:05 PM

'Mala seperti kakak saya, anak juga sayangkannya'

'Mala seperti kakak saya, anak juga sayangkannya'

Redzuan [email protected]



https://assets.hmetro.com.my/images/articles/CSE_1742701894.jpg
NAZUHA Md Ariffin (kiri) dan Mala berkawan baik sejak 15 tahun lalu. FOTO Ihsan Nazuha Md Ariffin


Bukit Mertajam: "Kami sudah macam sebuah keluarga…saya pun anggap dia seperti kakak sendiri malah anak saya pun sayangkannya," kata Nazuha M Ariffin.
Nazuha, 35, menarik perhatian warganet selepas berkongsi gambar juga video di TikTok yang menunjukkan keakrabannya dan anak dengan wanita India dikenali Mala, 48.
Menerusi perkongsian video itu, jelas kelihatan bagaimana Mala dan keluarganya melayan anak Nazuha seperti darah daging sendiri walaupun hakikatnya mereka berbeza kaum serta agama.
Bercerita lanjut, Nazuha yang menetap di Taman Tenggiri, Seberang Jaya berkata, dia berkenalan dan menjalin persahabatan dengan Mala sejak 15 tahun lalu ketika mereka bekerja di tempat yang sama.
Bermula saat itu, Nazuha dan Mala jadi rapat hingga menjadi sahabat baik.
"Saya berkawan baik dengan kakak (Mala) sebelum berkahwin lagi dan jarak rumah juga tak jauh mana jadi memang kerap berjumpa.
"Suami kakak Mala meninggal kira-kira tujuh bulan selepas mereka berkahwin dan selepas itu dia jadi sedih dan sunyi.
"Jadi, saya menjadi tempatnya bercerita dan antara kenangan paling tak dapat dilupakan adalah apabila kakak Mala sanggup belikan apa yang saya mengidam waktu mengandungkan anak dulu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Nazuha, ketiga-tiga anaknya sangat manja, rapat dan menghormati Mala kerana sudah mengenalinya sejak mereka kecil.
"Anak saya panggil dia Auntie Mala dan sayang sangat macam dah jadi emak nombor dua mereka.
"Setiap kali sambutan ulang tahun kelahiran anak saya, kakak Mala dengan keluarganya akan ingat malah pernah datang buat kejutan.
"Sama juga bila perayaan seperti hari raya dan Deepavali, kami akan bertandang ke rumah satu sama lain.
"Paling penting, kakak Mala dan keluarganya jenis orang yang tidak berkira," katanya yang kini mencari rezeki dengan menjual pakaian kanak-kanak di Bazar Aidilfitri dekat Uptown Bandar Perda di sini.
Mengenangkan hubungan baik itu, Nazuha berharap hubungan persahabatan dengan Mala akan berpanjangan.
"Saya cuma harap hubungan kami tak putus dan terus boleh berkawan.
"Jujurnya saya tak kisah ada sahabat berlainan kaum atau agama pun macam kakak Mala kerana sangat selesa berkawan dengannya," katanya.


Disiarkan pada: Mac 23, 2025 @ 11:51am
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/03/1199994/mala-seperti-kakak-saya-anak-juga-sayangkannya



Pages: [1]
View full version: 'Mala seperti kakak saya, anak juga sayangkannya'


ADVERTISEMENT