Tak berkira pasal duit asalkan dapat hantar kad Raya
Tak berkira pasal duit asalkan dapat hantar kad RayaZuliaty Zulkiffli - Mac 23, 2025 @ 10:09am
JITRA: "Saya takkan berhenti mengirim kad ucapan Hari Raya setiap kali menjelang Aidilfitri untuk mengekalkan tradisi lama walaupun sekarang orang buat kiriman menerusi WhatsApp dengan dibantu AI (Kecerdasan Buatan).
"Tapi bagi saya, menghantar kad ucapan melalui pos lebih seronok kerana kad yang diterima boleh disimpan sampai bila-bila," kata Muhammad Azim Azizan, 27.
Muhammad Azim adalah penyimpan kad ucapan Hari Raya bagi meneruskan legasi bapanya, Azizan Haroon, 61, yang melakukan hobi sama sejak 1970-an.
Dia yang bertugas sebagai pembantu khidmat awam di Majlis Perbandaran Kulim (MPK) berkata, minatnya mengumpul dan mengirim kad ucapan Hari Raya itu dilakukan ketika masih di sekolah menengah.
"Saya turut menyertai kumpulan WhatsApp dan Facebook (FB) pengumpul kad Hari Raya dan dari situ, saya bertukar alamat dengan rakan-rakan sehinggalah saya mendapat alamat VIP (orang kenamaan) dan istana.
"Kad ucapan Hari Raya yang paling bernilai buat saya adalah daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk orang kenamaan, pejabat kementerian kerajaan dan paling jauh Sultan Brunei.
"Saya teruja apabila semua kad yang hantar, dibalas dan dihantar semula di alamat yang saya sertakan pada setiap kad berkenaan," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Naga, Kepala Batas, semalam.
Muhammad Azim berkata, tahun ini, dia membelanjakan hampir RM1,000 untuk membeli pelbagai jenis kad Hari Raya yang dijual antara harga RM4 hingga RM7 termasuk kos setem.
Katanya, dia membelinya sedikit demi sedikit dengan hasil wang simpanan yang disimpannya sebelum Ramadan lagi sebagai persediaan membeli kad raya.
"Sebelum ini saya cuma habiskan antara RM500 hingga RM700 untuk membeli kad raya dan setem tetapi dengan keadaan sekarang, harga sudah naik, saya terpaksa beli dengan harga mahal.
"Kad ucapan Hari Raya juga agak sukar diperoleh sekarang ini, namun hanya ada sesetengah kedai buku yang masih menjualnya tetapi harga semakin mahal setiap tahun berbanding dulu," katanya.
"Kini saya sudah mengumpul lebih 4,000 keping kad ucapan Hari Raya sejak mula menyimpannya pada tahun 2017, ketika masih bersekolah dan kos yang saya keluarkan mencecah lebih RM5,000 dalam tempoh lapan tahun," katanya.
https://assets.bharian.com.my/images/articles/32_1742695755.jpg
Azim menunjukkan kad ucapan Hari Raya. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
01HWlVunVsM?si=LCiQrqoCtbI_r7bG
Pages:
[1]